Nasib Siti Aishah bakal diketahui 2 Mei


Muzliza Mustafa

NASIB bekas pelajar Universiti Malaya Siti Noor Aishah Atam, yang didakwa kerana memiliki bahan berkaitan keganasan, akan diketahui 2 Mei ini.

Pesuruhjaya Kehakiman Mohamad Shariff Abu Samah menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan timbalan pendakwa raya dan peguam bela di mahkamah pada akhir perbicaraan hari ini.

Beliau berkata memerlukan masa untuk melengkapkan penulisan keputusan itu.

Siti Aishah kini ditahan di Penjara Kajang.

Dalam hujahnya, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa Kunyalam berkata Siti Aishah mengetahui semua buku dalam simpanan beliau mempunyai kaitan dengan keganasan.

Beliau berkata Siti Aishah juga dikaitkan dengan dua orang lelaki, Dr Mahmud Ahmad, pengganas dikehendaki yang mempunyai kaitan dengan kumpulan militan Islamic State (IS) yang melarikan diri ke Filipina, dan Muamar Gadafi, yang didapati bersalah atas kesalahan keganasan pada 2016.

Muamar sedang menjalani hukuman 15 tahun penjara kerana memberikan latihan ketenteraan kepada rekrut IS di Kuala Kangsar.

Mustaffa dalam hujahnya juga berkata Siti Aishah mengetahui erti jihad, kerana mengakui mengkaji perkara itu.

Beliau juga berkata pendakwa mengemukakan laporan polis yang dibuat pada 2014 oleh bapanya, Atam Jusoh yang berkata cuba menghalang Siti Aishah daripada pergi ke Syria.

“Kami tidak menyerahkannya sebagai bukti substantif tetapi hanya bukti mencabar karakter beliau,” kata Mustaffa.

Dalam laporan polis, Atam berkata Siti Aishah mahu pergi ke Syria dan akan membunuh diri jika dihalang daripada pergi ke sana untuk berjihad.

Peguam bela Mohd Kamaruzaman Wahab dalam hujahannya berkata, tertuduh tidak mempunyai pengetahuan buku dalam simpanannya berkaitan dengan keganasan.

Beliau berkata pendakwa perlu memanggil tiga pakar untuk memberi keterangan yang buku itu sememangnya mempunyai kaitan dengan keganasan.

“Orang ramai tidak akan tahu kerana ia dijual secara terbuka,” katanya.

Turut hadir di mahkamah hari ini adalah ibu bapa Siti Aishah, Atam dan Saadiah Ibrahim.

Siti Aishah berhadapan kemungkinan dihukum penjara seumur hidup atau tidak lebih 30 tahun atau denda jika sabit kesalahan.  – 18 April, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen