PENDAKWAAN kes 1MDB melibatkan Najib Razak akan membuktikan dakwaan “derma” dari Arab Saudi seperti dicanang adalah rekaan bekas perdana menteri itu dan sekutu rapatnya, Low Taek Jho.
Najib berdepan perbicaraan kerana salah guna kedudukannya berkaitan dengan penyelewengan RM2.3 bilion, yang kata pendakwa raya adalah dana awam.
“Selepas skandal 1MDB terbongkar pada awal Julai 2015, tertuduh dengan bayangan cerminannya Low (Jho Low) bertindak menutup jejaknya. Dokumen palsu dikeluarkan untuk membayangkan (wang) ia adalah derma daripada seorang putera Arab,” kata Sri Ram dalam penyataan pembukaan kes.
“Antara dokumen tersebut adalah surat dan empat cek berjumlah AS$25 juta yang kononnya dikeluarkan oleh seseorang yang dikatakan sebagai penderma Arab. Tetapi, cek ini tidak pernah dikeluarkan dengan tujuan ditunaikan dan tidak pernah ditunaikan.”
LANGSUNG: Perbicaraan hari pertama kes 1MDB
Sri Ram berkata pendakwaan juga akan mengeluarkan bukti untuk menunjukkan Najib giat bertindak untuk mengelak daripada keadilan.
“Dia masuk campur dalam siasatan kes yang dikenali sebagai skandal 1MDB. Dia terlibat secara aktif untuk melindungi tindakan jenayahnya. Pendakwaan akan membentangkan semua bukti untuk menunjukkan yang tertuduh mempunyai ‘mens rea’ untuk semua pertuduhan berkaitan jenayah yang dilakukannya,” katanya. – 28 Ogos, 2019.
MENYUSUL
Komen