NAJIB Razak menyalahguna jawatannya sebagai perdana menteri, menteri kewangan dan pengerusi Lembaga Pengarah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk mengayakan dirinya, kata Ketua Pendakwa Raya Gopal Sri Ram dalam penyataan pembukaan kes pada perbicaraan kes ditunggu-tunggu dunia itu.
“Matlamat ulung tertuduh (Najib) adalah untuk mendapatkan habuan kepada dirinya. Dia berjaya mencapai matlamat itu. Sebuah pelan terancang penuh teliti dilaksanakan,” kata Sri Ram di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Collin Lawrence Sequerah di ruang mahkamah yang dipenuhi hadirin.
LANGSUNG: Perbicaraan hari pertama kes 1MDB
Sri Ram juga memberitahu mahkamah, dalam pelan rancangan penuh teliti itu adalah seorang individu dikenali sebagai Low Taek Jho, atau Jho Low, menambah yang Low terlibat dalam 1MDB dan Pihak Berkuasa Pelaburan Terengganu, tetapi kini jadi orang buruan.
“Pendakwaan akan membuktikan yang tertuduh, menerusi kata-kata dan tindakannya, membuat gambaran jelas kepada pegawai 1MDB, lembaga pengarah dan lain-lain bahawa Jho Low adalah ‘alter egonya’. Hakikatnya, Jho Low adalah cerminan tertuduh.
“Pendakwaan akan memberikan fakta kukuh yang akan menimbulkan petunjuk tidak dapat disangkal bahawa Jho Low dan tertuduh bertindak bersama-sama sepanjang masa (salah laku) berlaku.”
Najib kelihatan tenang sepanjang Sri Ram berhujah. Pemimpin berusia 66 tahun itu ditemani pembantunya ketika hadir di mahkamah pagi tadi, walaupun tiada ahli keluarganya kelihatan hadir bersama.
Sri Ram berkata pihak pendakwaan akan membuktikan Najib mengubah beberapa perkara dalam urusan 1MDB untuk meletakkan dirinya sebagai pengawal tunggal perkara-perkara penting melibatkan hal ehwal dan cara urus perniagaan syarikat itu.
“Pendek kata, dia adalah wakil penuh (berkuasa penuh untuk bertindak secara bebas),” kata Sri Ram lagi. – 28 Ogos, 2019.

Komen