LANGSUNG: Gaji dan elaun Najib cecah puluhan ribu, kata saksi


Bede Hong Timothy Achariam

Najib Razak tiba di Kompleks Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk perbicaraan kes 1MDB. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 28 Ogos, 2019.

SAKSI yang sebelum ini memberi keterangan pada perbicaraan kes SRC International juga dijangka memberi keterangan pada perbicaraan 1MDB yang bermula di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Pendakwaan sudah menyenaraikan sekurang-kurangnya 60 orang saksi termasuklah bekas pegawai Jabatan Perdana Menteri.

Pasukan pembelaan Najib Razak minggu lepas menerima 17 berkas dokumen bukti pra bicara termasuklah keterangan saksi.

Hakim bersidang, Collin Lawrence Sequerah memohon pendakwaan untuk memanggil bekas saksinya yang tidak perlu membaca keterangan bertulis.

Pendakwaan akan diketuai oleh bekas hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram yang akan menyampaikan hujah pembukaan hari ini.

Najib berdepan 25 pertuduhan jenayah, iaitu empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan penggubahan wang haram melibatkan RM2.3 bilion.

Ahli Parlimen Pekan itu dituduh menyalahguna kedudukannya sebagai perdana menteri, menteri kewangan dan pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB antara 14 Februari 2011 sehingga 19 Disember 2014.

Beliau dituduh mempengaruhi keputusan Pihak Berkuasa Pelaburan Terengganu sebelum ditukar kepada 1MDB dan perjanjian usaha sama antara 1MDB, PetroSaudi International Limited dan Aabar Investment PJS.

Pertuduhan penggubahan wang haram pula berlaku antara 22 Mac 2013 sehingga 30 Ogos 2013 termasuklah transaksi wang berjumlah AS$681 juta yang masuk ke dalam akaun peribadi Najib.

Tahun lepas, bekas perdana menteri itu menyifatkan wang tersebut sebagai “wang kecemasan” daripada Allahyarham Raja Arab Saudi Raja Abdullah yang didakwa disalurkan menerusi salah sebuah syarikatnya, Tanore Finance Corporation.

Jabatan Kehakiman AS percaya Tanore dimiliki Eric Tan Kim Loong, salah seorang sekutu rapat ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho.

Najib, 66, berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun untuk pertuduhan salah guna kuasa dan denda maksimum untuk setiap satu 21 pertuduhan penggubahan wang haram.

The Malaysian Insight membawakan siaran langsung prosiding hari ini:

1.37pm: Sri Ram memberitahu mahkamah yang pendakwaan tidak ada lagi saksi hari ini. Hakim Collin menangguhkan prosiding sehingga 9.30 pagi esok.

1.35pm: Noorhaina kini disoal balas Sri Ram. Beliau berkata, gajinya sebagai setiausaha digital Najib adalah sebanyak RM24,000. Saksi dibenarkan keluar.

1.34pm: Katanya semua pemimpin dunia termasuklah Barack Obama dan David Cameron, menggunakan faedah media digital.

1.32pm: Katanya, beliau adalah pemilik bersama Orb Solutions. Noorhaina ditanya jika beliau dan Amhari pernah didakwa atas sebarang kesalahan jenayah. Beliau menjawab tidak, tetapi beliau ada dipanggil SPRM sebanyak dua kali untuk disoal dan sekali lagi untuk diambil keterangan.

1.31pm: Noorhaina berkata projek tertentu yang diuruskannya di media digital ketika Najib menjadi perdana menteri mungkin memberi idea kepada Najib tentang penggunaan media sosial.

1.30pm: Shafee bertanya jika Najib belajar daripada pengalamannya dalam menggunakan media sosial untuk memperkenalkan kempen “Bossku”.

1.27pm: Shafee mencadangkan kerja Noorhaina tidak memberikan manfaat peribadi kepada Najib. Saksi bersetuju dengan cadangan itu. 

1.17pm: Katanya, beliau ada percanggahan pendapat dengan Amhari dan meninggalkan PMO pada 2014. 

1.14pm: Noorhaina berkata beliau dilantik sebagai setiausaha digital Najib ditempatkan di JPM. Pelantikan itu adalah pinjaman daripada Orb Solutions. 

1.10pm: Katanya, ketika beliau dibawa masuk, kepantasan maklumat dalam komunikasi dalam talian sama pantas dengan salah maklumat. 

1.09pm: Noorhaina berkata kerajaan BN ketika itu curiga dan tidak mempercayai media sosial. Mereka percaya untuk menggunakan potensinya, ia perlu dilakukan dalam kapasiti peribadi dan bukannya kapasiti kerajaan.

1.08pm: Katanya, kerajaan BN pada 2008 dengan majoriti kurang. Ada kepercayaan dalam kerajaan yang ia disebabkan pembangkang menggunakan ruang siber dengan lebih berkesan.

1.07pm: Noorhaina berkata secara umumnya, komunikasi digital tidak boleh diabaikan kerajaan kerana semua orang di negara ini bergantung kepada media digital.

1.05pm: Katanya, beliau direkrut sebagai kontraktor luar kerana hubungan peribadinya.

Shafee bertanya jika pada 2008, sektor digital masih belum diguna pakai kerajaan. Katanya, sektor kerajaan perlahan dalam penggunaan sektor digital.

1.04pm: Shafee bertanyakan Noorhanina tentang kepakarannya di Orb Solutions. Beliau menjawab, beliau menyediakan dan membuat “content”.

1.01pm: Mahkamah sambung bicara. Shafee memulakan sesi soal balas.

12.36pm: Shafee meminta rehat 10 minit sebelum mula menyoal balas saksi. 

12.25pm: Katanya, jumlah tersebut adalah untuk pembayaran kos operasi, seperti gaji kakitangan, sewa dan urusan harian pejabat.

Noorhaina berkata syarikat selalunya menerima bayaran dalam bentuk cek.

Jelasnya, beliau bekerja di Jabatan Perdana Menteri daripada Ogos 2013 hingga Oktober 2014, menambah yang beliau adalah penghubung dalam JPM untuk Orb Solutions sebagai agensi digital.

Tambahnya, beliau berurusan dengan Najib untuk mendapatkan kelulusan bagi acara dirancang agensi serta kenyataan awam berkaitan dasar dan isu sensitif.

Noorhaina memberitahu antara isu dikendalinya adalah tragedi Malaysia Airlines MH17, apabila beliau akan menyemak semua kenyataan yang akan dimuat naik di media sosial dan mendapat kelulusan Najib dahulu.

Katanya, pejabat media rasmi PM mendapat manfaat daripada perkhidmatan ini, yang turut memberi faedah kepada Najib.

12.24pm: Beliau ditunjukkan cek dikeluarkan untuk Orb Solutions, tetapi berkata tidak ingat siapa yang menerima cek itu.

Beliau bagaimanapun boleh mengesahkan cek itu ditunaikan. Beliau mengenalpasti tandatangan cek tersebut adalah milik Najib.

Jumlah cek sebanyak RM2 juta.

12.18pm: Katanya, selaku CEO Orb Solutions, beliau menguruskan operasi harian dan merancang strategi komunikasi yang kemudiannya dimaklumkan kepada Najib menerusi Pejabat Perdana Menteri.

Tambahnya, beliau berhubungan dengan Najib atas urusan kerja.

Saksi berkata, Amhari selaku pengarah bersama Orb Solutions, adalah penghubung syarikat dengan Jabatan Perdana Menteri.

12.11pm: Sri Ram mula menyoal saksi seterusnya, Noorhaina Hirawani Mohd Noor, bekas pengarah Orb Solutions Sdn Bhd.

Katanya, beliau mengenali Amhari Affendi apabila dilantik menguruskan pasukan kontraktor yang mengendalikan komunikasi digital Najib sebagai perdana menteri ketika itu. Tambahnya, Amhari diperkenalkan kepadanya sebagai pegawai khas Najib.

Katanya, beliau membantu menubuhkan Orb Solutions, yang berperanan sebagai agensi digital khas untuk Najib menguruskan komunikasi dalam talian peribadinya dan aset bekas perdana menteri itu.

Noorhaina turut menguruskan laman sesawang dan mengenalikan akaun media sosial Najib.

Jelasnya, pembentukan syarikat itu adalah untuk menjadi saluran kepada Najib berhubungan dengan rakyat melalui cara kurang rasmi.

Katanya, pada 2008, kerajaan ketika itu sangat berhati-hati dengan komunikasi dalam talian dan media sosial, dan beliau tidak tahu ada pegawai kerajaan lain melakukan kerja itu.

12pm: Katanya antara 2011 dan 2014, Najib menerima elaun ahli Parlimen dan elaun ketua Dewan Rakyat sebanyak RM10,355.18.

Pada 2015, apabila semakan semula gaji dibuat, gaji Najib turut berubah, katanya.

Bermula Januari 2015 sehingga Mac 2018, gaji ahli Parlimen meningkat kepada RM16,000. Ini bermakna, Najib menerima baki gaji tertunggak sebanyak RM19,846,59 selain elaunnya sebagai ketua Dewan Rakyat.

Beliau turut mengesahkan, semua ini hanyalah elaun yang diterima Najib sebagai ahli Parlimen.

Farah dibenarkan meninggalkan kandang saksi.

11.52am: Saksi seterusnya, Farah Nurdian Azhar, dipanggil memberi keterangan. Farah adalah pegawai tadbir untuk hal ehwal Parlimen.

Beliau juga adalah saksi perbicaraan SRC International, dan antara bidang tugasnya adalah mengendalikan semua pembayaran dan elaun ahli Parlimen.

Katanya, ahli Parlimen menerima elaun bulanan sebanyak RM16,000 berkuatkuasa pada 2015. Elaun lain diterima bulanan pula sebanyak RM25,700.

Katanya, sekiranya ahli Parlimen itu adalah ahli Kabinet, mereka hanya mendapat elaun bersih sebanyak RM16,000.

Farah berkata ahli Parlimen yang dilantik sebagai perdana menteri akan menerima elaun RM1,846 sebagai ketua Dewan Rakyat.

Beliau juga mengesahkan mempunyai akses kepada slip gaji ahli Parlimen.

1.50am: Mahkamah kembali bersidang dengan Sri Ram memberitahu hakim yang seorang saksi tidak dapat hadir hari ini kerana dijangkiti penyakit selesema H1N1.

11.17am: Shafee memulakan sesi soal balas pembelaan.

Natasha berkata, jumlah gaji itu tidak termasuk gaji lain diterima Najib sebagai menteri kewangan.

Katanya lagi, beliau tidak tahu sama ada Najib ada menerima elaun lain daripada kementerian lain.

Shafee menamatkan sesi soal balas dan Natasha dibenarkan keluar.

Mahkamah berehat seketika.

11.14am: Mahkamah diberitahu gaji kasar bulanan Najib adalah RM58,605.15. 

Katanya, pada Mei 2018, beliau diberikan bayaran sekali jelas sebanyak RM1 juta sebagai pesara perdana menteri seperti termaktub dalam undang-undang. Natasha berkata bayaran dimasukkan ke dalam akaun rasminya di Affin Bank. 

11.09am: Natasha meneruskan keterangan dengan berkata beliau menyerahkan slip gaji Najib untuk Januari 2006 sehingga Mei 2018. Katanya lagi, beliau juga menyerahkan beberapa penyata bayaran kasar tahunan dibuat kepada bekas perdana menteri itu. 

Beliau kemudian mengesahkan slip gaji Najib. 

11.08am: Katanya, semasa siasatan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), beliau menyerahkan penyata gaji Najib kepada agensi itu. 

11.05am: Saksi seterusnya, Natasha Rahimah Hayati, 47, mengambil tempat untuk memberi keterangan. Beliau adalah akauntan di Bahagian Akaun, Jabatan Perdana Menteri. Beliau memberitahu mahkamah yang beliau bertanggungjawab untuk bayaran gaji kakitangan dan mempunyai akses kepada slip gaji.  Jelasnya, beliau adalah bekas ketua bahagian tuntutan dan persaraan. 

11.02am: Jawatan yang pernah disandang Najib, seperti disahkan saksi: 

1986 – menteri kebudayaan, belia dan sukan
1987 – menteri belia dan sukan
1990 – menteri pertahanan
1995 – menteri pendidikan
1999 – menteri pertahanan
2004 – timbalan perdana menteri
2008 – timbalan perdana menteri dan menteri kewangan
2009 - perdana menteri
2013 - perdana menteri dan menteri kewangan

Selepas ditanya beberapa soalan pendek, Farizah dibenarkan keluar daripada kandang saksi. 

11am: Shafee mula menyoal balas saksi.

10.54am: Apabila diminta mengenal pasti Najib untuk memulakan prosedur, Farizah menunjuk ke arah bekas perdana menteri itu yang duduk di dalam kandang tertuduh.

10.47am: Saksi berkata, menurut rekod, Najib menjadi menteri kewangan pada 10 April 2009.

Pada 6 Mei 2013, Najib dipilih semula sebagai perdana menteri, katanya.

10.46am: Saksi mengesahkan ketika Najib pertama kali dilantik sebagai perdana menteri, beliau juga memegang portfolio lain seperti menteri pertahanan dan menteri kewangan. 

10.40am: Sesi dimulakan dengan mengenalpasti surat pelantikan Najib sebagai perdana menteri bertarikh 3 April 2009. 

10.32am: Timbalan Pendakwa Raya Akram Gharib memanggil saksi pendakwaan pertama, Timbalan Ketua Setiausaha Kabinet Dr Farizah Ahmad.

Beliau mula berkhidmat di Bahagian Kabinet, Perlembagaan dan Hubungan Antara Kerajaan sejak 2011.

10.28am: Gopal berkata sembilan pertuduhan pertama berkaitan dengan pemindahan lebih RM2.34 bilion ke dalam satu akaun AmBank.

Katanya, dokumen “mengesahkan” Najib menerima derma daripada keluarga diraja Arab Saudi adalah palsu.

Sri Ram menamatkan penyataan pembukaan kes dengan berkata sepanjang perbicaraan, saksi akan menunjukkan wujud kesalahan dibuat tertuduh.

10.11am: Sri Ram berkata Najib, Jho Low dan Putera Arab Saudi Faisal Turki sangat rapat sehingga mereka bercuti bersama-sama di Perancis. 

10.04am: Sri Ram mula membaca penyataan pembukaan kes.

Katanya, tertuduh (Najib) merancang pelan terperinci untuk mengayakan dirinya dan susuk penting dalam rancangan itu ialah Jho Low.

Jelasnya lagi, pihak pendakwaan akan membuktikan kata-kata dan tindakan menunjukkan Jho Low adalah “alter ego” Najib, menambah yang jika Najib diletakkan di depan cermin, Jho Low akan kelihatan dan begitu sebaliknya.

Gopal Sri Ram, bekas hakim Mahkamah Persekutuan mengetuai pendakwaan kes 1MDB terhadap Najib Razak. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 28 Ogos, 2019.

Sri Ram berkata pendakwaan akan membuktikan tertuduh, dalam kapasitinya selaku perdana menteri dan menteri kewangan, mengambil beberapa langkah untuk menyalurkan dana ke dalam akaunnya dan melindungi jejak saluran itu.

10am: Shafee memberitahu Collin tentang rayuan dibuat pembelaan di Mahkamah Rayuan, berkata ia membenarkan mereka mendengar semakan kehakiman dua perkara di mahkamah tinggi.

Shafee berkata jika keputusan mahkamah memihak kepada Najib, pelantikan Sri Ram dianggap tidak sah, seterusnya membatalkan keseluruhan perbicaraan 1MDB.

Najib Razak bersama peguamnya, Shafee Abdullah akan memulakan pertarungan baharu hari ini, kes yang dinanti seluruh dunia, penyelewengan dana 1MDB. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Ogos, 2019.

9.55am: Hakim Collin masuk mahkamah. 

9.52am: Semua peguam sudah hadir dan menunggu prosiding bermula. 

9.34am: Najib masuk ke mahkamah bersama-sama pembantunya. Tiada ahli keluarganya kelihatan.

9.30am: Pendakwa raya terdiri daripada:

1. Gopal Sri Ram 

2.  Akram Gharib 

3. Mustaffa P. Kunyalam 

4. Deepa Nair Thevaharan 

5. Nadia Mohd Izhar 

6. Najwa Bistamam

7. Hazmida Harris  Lee

8. Tan Song Yan

9.21am: Mahkamah sudah dipenuhi pengamal media dan orang awam di ruang awam. Bagaimanapun, Najib masih tidak kelihatan.

Peguam untuk pasukan pembelaan Najib ialah:

1. Muhammad Shafee Abdullah 

2. Tania Scivetti

3. Al Firdaus Shahrul 

4. Syazwani Zawawi

5. Nor Fazreen Hazrina Rahim 

6. Wan Aizuddin Wan Mohammed

7. Rahmat Hazlan 

8. Farhan Shafee 

9. Mardhiyah Sirajkumar

10. T. Chelvakumar 

11. Syahirah Hanapiah

12. Zahira Eleena Redza

9.19am: Gopal tiba di mahkamah.

9am: Perbicaraan kes yang ditunggu-tunggu itu dijangka akan bermula setengah jam lagi, ramai orang, kebanyakannya pengamal media sudah menunggu ketibaan Naji di lobi Kompleks Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Hari ini, dua saksi difahamkan adalah bekas pegawai Jabatan Perdana Menteri dan seorang lagi dari Parlimen. – 28 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen