Guru akan berdepan masalah dengan buku teks import, kata kesatuan guru


Low Han Shaun

Guru yang tidak tidak terlatih dalam subjek Bahasa Inggeris dikhuatiri akan berdepan masalah apabila mengendalikan buku teks baharu yang selari dengan CEFR. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Oktober, 2017.

MALAYSIA kekurangan guru bahasa Inggeris tempatan yang terlatih untuk melaksanakan kurikulum berdasarkan Common European Framework of Reference for Languages (CEFR) baru yang diperkenalkan Kementerian Pendidikan, kata Kesatuan Guru dan kumpulan pendidik. 

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Harry Tan Huat Hock berkata, di sesetengah sekolah guru bahasa Inggeris dipilih kerana mereka “tahu sedikit bahasa Inggeris” berbanding rakan sejawat lain dan bukan kerana terlatih dengan Teaching English as a Second Language (TESL) atau kelayakan sama yang lain. 

Katanya, mereka yang mempunyai kelayakan TESL atau yang dilatih khas untuk mengajar bahasa Inggeris boleh mengendalikan buku teks baharu dan sejajar dengan CEFR, namun dikhuatiri mereka yang tidak terlatih akan berdepan masalah. 

“Tidak adil untuk guru dipaksa mengajar bahasa Inggeris hanya kerana mereka tahu sedikit bahasa Inggeris di sekolah,” katanya kepada The Malaysian Insight. 

Menambahkan lagi masalah itu, Tan berkata bahasa Inggeris diajar sebagai subjek di Malaysia dan bukan sebagai bahasa. Cara mengajar di sekolah awam juga tidak menjadi teknik yang baik kepada guru untuk membantu pelajar menerapkan bahasa itu. 

Tan berkata sekolah memerlukan guru yang tidak hanya bergantung kepada buku teks untuk mengajar tetapi menjadikan bahasa Inggeris hidup sebagai bahasa yang menarik minat pelajar untuk menggunakannya.

Beliau menyifatkan guru ini sebagai “optionist” yang bermaksud seseorang yang boleh memberi pilihan kepada orang lain

“Kekurangan optionist atau guru yang diatih untuk mengajar bahasa Inggeris adalah masalahnya,” kata Tan.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai rancangan Kementerian Pendidikan untuk menggunakan buku teks bahasa Inggeris yang diimport bermula tahun hadapan untuk selari dengan kurikulum bahasa Inggeris dengan CEFR.

Buku teks baharu itu akan mula digunakan pada 2018 kohort prsekolah, pelajar Tahun Satu dan Dua, dan pelajar Tingkatan Satu dan Dua.

Kaedah pembelajaran sedia ada yang diguna pakai di sekolah awam juga tidak membantu pelajar mengaplikasikan bahasa Inggeris.

“Semua orang mahu melihat pencapaian ‘A’, menjadikan guru mengajar bahasa Inggeris sebagai subjek berbanding bahasa.

“(Mereka mengajar menggunakan) kaedah pembelajaran hafalan dan buku teks bebranding memfokuskan untuk mengaplikasikan bahasa, iaitu mendengar, bercakap, membaca dan menulis,” katanya.

Ia menyebabkan pelajar mempelajari bahasa Inggeris tetapi tidak mampu menggunakan bahasa itu dengan efektif, yang menjadi salah satu faktor graduan tidak bekerja dan prestasi teruk pelajar di universiti.

“Apabila keputusan peperiksaan UPSR diumumkan tahun lalu, semua merungut kurang A, persoalan sepatutnya ialah adakah pelajar kita menguasai semua kemahiran,” katanya. 

Ibu bapa perlu jaminan

CEFR merupakan enam peringkat kebolehan berbahasa Inggeris yang bermula dengan asas komunikasi di peringkat paling bawah. Dibangunkan menggunakan bahasa Inggeris tahap Cambridge, diadaptasikan di Eropah dan beberapa negara lain sebagai penanda aras kebolehan berbahasa.

Pengerusi Persatuan Kumpulan Ibu Bapa Bertindak Untuk Pendidikan (Page) Noor Azimah Abdul Rahim berkata rancangan kementerian untuk selarikan kurikulum bahasa Inggeris dengan CEFR bukanlah satu keputusan drastik dan ia pernah disebut dalam English Language Roadmap 2015-2025 tahun lalu sebagai sebahagian daripada implementasi Rangka Tindakan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

Rangka tindakan untuk meningkatkan kemahiran guru menggunakan CEFR dan dihasilkan oleh Majlis Penarafan Standard dan Kualiti Bahasa Inggeris 

“Kami merupakan salah satu pihak berkepentingan yang terlibat dalam pelaksanaan rangka tindakan itu. 

“Masyarakat awam tidak tahu apa itu CEFR, ia boleh dilihat sebagai langkah ad-hoc, tetapi guru sudah dan sedang bersiap sedia,” katanya dan menambah kementerian kini sedang meningkatkan kemahiran guru. 

Kementerian bagaimanapun, perlu menjelaskan apakah bentuk latihan yang diberikan dan apa yang sudah dijalankan, kerana “terdapat kebimbangan dalam kalangan ibu bapa bahawa guru Malaysia tidak mampu membawa tanggungjawab itu”.

“Kementerian perlu menyatakan apa itu peningkatan kemahiran dan bagaimana ia dilakukan.

“Banyak perkara yang sudah dibuat, tetapi masyarakat umum perlu tahu apa yang sudah dilaksanakan, ibu bapa memerlukan jaminan bahawa guru mampu melaksanakannya,” katanya.

Langkah itu juga dijangka akan memberi kesan terhadap pengeluar buku teks tempatan, yang meminta kerajaan garis panduan untuk menghasilkan buku yang memenuhi standard CEFR.

Tan berkata buat masa ini, tiada buku teks yang dikeluarkan penerbit tempatan yang selari dengan standard CEFR.

“Realitinya adalah buku teks di Malaysia telah disusun semula oleh kementerian selama ini dan tidak sesuai dengan masa kini. 

“Jika sekolah dibenarkan untuk memilih buku teks di pasaran terbuka, jadi barulah buku teks terbaik akan dihasilkan,” katanya. – 13 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen