Pemikir Islam-Melayu, Kassim Ahmad meninggal dunia


Looi Sue-Chern

Kassim Ahmad yang pernah dilabel sebagai anti hadis dan menentang pihak berkuasa agama, dimasukkan ke wad sejak bulan lalu kerana masalah paru-paru. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Oktober, 2017.

PENGARANG dan cendekiawan Melayu terkenal, Dr Kassim Ahmad yang baru bulan lalu menyambut hari jadinya yang ke-84, meninggal dunia pada pukul 10 pagi tadi di Hospital Besar Kulim. Allahyarham tidak sedarkan diri di hospital itu sejak semalam.

Anak lelakinya Ahmad Shauqi Kassim mengesahkan pemergian bapanya kepada The Malaysian Insight.

Kassim, yang pernah dilabel sebagai anti hadis dan menentang pihak berkuasa agama, dimasukkan ke wad sejak bulan lalu kerana masalah paru-paru.

Kassim meninggalkan seorang isteri, seorang anak lelaki, dua anak perempuan dan 11 cucu.

Anak Kedah ini dikenali sebagai pemikir Islam yang lantang dan berani menyuarakan pandangannya yang melawan arus pemikiran arus perdana Islam. Beliau juga terkenal sebagai seorang yang tabah dan cekal, yang meneruskan perjuangan melawan pihak berkuasa agama pada hujung usianya.

Hanya dua bulan lalu, beliau menang kes selepas tiga tahun naik turun mahkamah menentang pihak berkuasa agama kerana dituduh menghina Islam dan ingkar fatwa yang dikeluarkan di Wilayah Persekutuan, berhubung satu kenyataan yang dibuatnya dalam sebuah seminar pada Februari 2014.

Walaupun tua dan uzur, Kassim berulang-alik dari rumahnya di Kulim ke mahkamah di Kuala Lumpur dan Putrajaya untuk mempertahankan diri sehinggalah pihak pendakwa syariah akhirnya menggugurkan kes terhadapnya.

Ketika kes itu masih berjalan, Kassim berikrar akan melawan habis-habisan. Kassim memberitahu portal berita The Malaysian Insider, yang kini sudah bubar, dalam satu wawancara pada Januari 2015, yang beliau percaya beliau akan menang.

Kassim yakin beliau tidak bersalah, sama seperti mana keyakinannya setiap kali menyuarakan pandangan apabila bercakap mengenai pihak berkuasa walaupun ketika mereka sedang hendak menghukumnya.

“Daripada pengalaman saya, orang agama di negara ini pemikirannya sempit. Ini bukan cara Nabi Muhammad. Mereka buat apa yang Nabi tidak buat semasa hayatnya.

“Mereka ini seolah-olahnya bercakap bagi pihak Tuhan dan tidak ada sesiapa yang boleh mempersoalkan mereka,” katanya, dalam wawancara itu.

Lahir pada 9 September 1933, Kassim aktif dalam Kelab Sosialis haluan kiri semasa jadi mahasiswa di Universiti Malaya di Singapura.

Beliau dan beberapa mahasiswa UM yang lain mencabar cara pengajaran dan pembelajaran pengajian Melayu di universiti itu, dan mendesak sistem yang lebih terbuka.

Namanya jadi tajuk berita pada tahun 1950-an melalui kajiannya mengenai konsep wira dalam watak Hang Tuah dan Hang Jebat. Kassim mengangkat Jebat sebagai wira sebenar.

Kassim berkhidmat sebagai pegawai penyelidik di Dewan Bahasa dan Pustaka selepas tamat pengajian di universiti. Semasa di DBP, beliau menyusun Hikayat Hang Tuah.

Beliau kemudian bertugas sebagai pensyarah pengajian Melayu di School of Oriental and African Studies, Universiti London selama empat tahun. Beliau seterusnya menolak tawaran jawatan tetap di fakulti itu sebaliknya pulang ke Malaysia kerana panggilan politik.

Semasa aktif dalam Parti Sosialis Rakyat Malaysia bersama Ahmad Boestamam, Kassim jadi guru sementara di Sekolah Menengah Abdullah Munshi di Pulau Pinang, namun khidmatnya dihentikan pada 1969 selepas beliau menyebarkan risalah parti sosialis itu kepada pelajar-pelajarnya.

Sejak itu, Kassim jadi penulis bebas, penterjemah, wartawan  dan guru. Selepas PSRM, beliau masuk Umno. Beliau merengkok dalam tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri ketika aktif dalam PSRM dan dibebaskan selepas Dr Mahathir Mohamad, yang juga kawan baiknya, jadi perdana menteri.

Kassim, yang menulis lebih 20 buah buku dan esei serta puisi, banyak menulis tentang Islam.

Bukunya, “Hadis: Satu Penilaian Semula” menyebabkan dirinya dicap sebagai anti hadis.

Dalam bukunya itu, beliau mengkritik penggunaan hadis sebagai sumber perundangan, sehingga menyebabkan buku itu diharamkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.

Pandangannya dalam buku inilah yang diulanginya dalam sebuah seminar Februari 2014 yang mengheretnya ke mahkamah.

Pada seminar “Pemikiran Kassim Ahmad: Suatu Penilaian — Hala Tuju Bangsa dan Negara Malaysia Untuk 30 Tahun Akan Datang” itu, Kassim menuduh golongan ulama mengawal Islam di Malaysia sama seperti sistem kepaderian dan mempersoalkan penggunaan hadis untuk menerangkan ajaran al-Quran. Beliau juga berhujah rambut wanita bukanlah sebahagian daripada aurat.

Perdebatan Kassim dengan banyak pihak mengenai pemikirannya itu melahirkan buku “Hadis: Jawapan kepada Pengkritik” pada 1992.

Kassim pernah dianugerahkan Ijazah Doktor Kehormat Persuratan daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 1985 dan Anugerah Penyair Gabungan Penulis-Penulis Nasional (Gapena) pada 1987. – 10 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen