KEBIMBANGAN ditimbulkan pihak tertentu sehingga Malaysia membatalkan proses meratifikasi Statut Rom untuk penyertaan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) tidak berasas, kata pakar.
Ahli ICC yang juga ahli Badan Peguam, N Sivananthan berkata kebimbangan yang dicanang mengaitkan perjanjian antarabangsa itu dengan cabaran terhadap agama dan institusi beraja serta penggubalan undang-undang menyokong komuniti seksual minoriti itu tidak berasas.
Pandangan bahawa menjadi ahli perjanjian itu juga akan membolehkan Raja-Raja didakwa juga tidak berasas, kerana Malaysia sudah lama hilang kekebalan diraja sejak Perlembagaan Persekutuan dipinda pada 1993.
Selain itu, katanya lagi, Malaysia juga adalah ahli Konvensyen Genosid yang juga tidak memberikan kekebalan kepada ketua negara.
“Statut Rom bukanlah tidak sepadan dengan Islam,” katanya di sebuah forum mengenai Mahkamah Jenayah Antarabangsa.
Perjanjian itu, katanya, mempunyai bidang kuasa terbatas, hanya tertumpu kepada jenayah kejam dan berat seperti jenayah kemanusiaan, genosid, jenayah perang dan jenayah pencerobohan.
Hak istimewa orang Melayu juga tidak terjejas, kata Sivananthan, kerana ia bukan bidang kuasa Statut Rom.
“Bukan (bidang kuasa) Statut Rom untuk masuk campur dalam apa sahaja dasar positif yang dimiliki negara ahli. Positif atau negatif, itu bukan sebabnya kami ditubuhkan.”
Begitu juga, dalam aspek undang-undang menyokong seksual minoriti bukanlah bidang kuasa konvensyen itu.
“Saya katakan sekali lagi kerana antara bantahan terhadap Statut Rom adalah, jika ada isu tentang undang-undang yang mendiskriminasi orang bukan heteroseksal, ia boleh dianggap kesalahan di bawah ICC. Ini langsung tidak betul,” katanya.
“Apa sahaja undang-undang yang anda anda sama ada berasaskan budaya atau agama dan mungkin yang mengharamkan aktiviti atau kecenderungan seksual tertentu bukanlah satu kesalahan di bawah ICC,” tambahnya.
Katanya lagi, Statut Rom menghormati agama, budaya dan undang-undang adat negara ahli dan ICC tidak akan masuk campur dalam perkara ini.
Jelasnya lagi, Malaysia tidak berdepan risiko dengan menyertai Statut Rom kerana negara tidak mempunyai sejarah melakukan empat jenayah berat yang termaktub dalam Statut Rom. Malah kemungkinan ia berlaku di masa depan juga sangat tipis. – 27 Ogos, 2019.
Komen