Selepas 57 hari dan 57 saksi, pendakwaan tutup hujah kes SRC International Najib


Timothy Achariam Bede Hong

Najib Razak berdepan tujuh pertuduhan jenayah berkaitan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 27 Ogos, 2019.

PIHAK pendakwaan menutup prosiding tujuh pertuduhan jenayah terhadap bekas perdana menteri Najib Razak berkaitan penyelewengan RM42 juta dana negara SRC International hari ini, selepas memanggil 57 saksi dalam tempoh 57 hari.

Peguam Negara Tommy Thomas menutup kes pendakwaan dengan saksi ke-57 yang juga saksi terakhirnya, Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Rosli Hussain.

Thomas memaklumkan Hakim Nazlan Ghazali yang pendakwaan sudah menyediakan senarai 66 saksi sekiranya pihak pembelaan diarahkan masuk bicara.

Nazlan akan mengeluarkan penghakiman sama ada Najib perlu membela diri pada 11 November depan.

Jelasnya, perbicaraan akan disambung semula pada 2 Disember sehingga 19 Disember sekiranya Najib dipanggil membela diri untuk sejumlah atau semua pertuduhan yang dihadapinya.

Perbicaraan kes SRC International berkaitan Najib Razak bermula 3 April lalu.

Najib yang juga ahli Parlimen Pekan berdepan tiga pertuduhan pecah amanah ketika menjadi perdana menteri dan menteri kewangan, satu pertuduhan salah guna kuasa kerana menerima habuan dan tiga pertuduhan penggubahan wang haram berkaitan dana RM42 juta milik syarikat berkaitan kerajaan itu.

Selepas prosiding berakhir hari ini, Pendakwa Raya Khas V Sithambaram berkata mereka yakin sudah membuktikan kes prima facie terhadap Najib.

“Pendakwaan berasa yakin yang kami sudah membuktikan prima facie kes dengan memanggil 57 saksi dan menyerahkan bukti dokumen dan bukti peristiwa yang berlaku pada 2014 dan 2015,” katanya.

Sithambaram juga memuji pihak pembelaan dan pendakwaan kerana berjaya menghabiskan prosiding kes dengan cepat.

“Kes ini berjalan pantas, sebagai seorang peguam, ia adalah salah kes tercepat saya buat. Dua atau tiga bulan dengan 57 saksi kami buat dengan sangat baik. Semuanya pantas,” katanya.

Pengakhiran bicara itu bagaimanapun bukan waktu rehat untuk Najib, kerana beliau perlu bersedia untuk perbicaraan kes 1MDB yang akan bermula esok. Beliau berdepan 25 pertuduhan jenayah untuk kes 1MDB. – 27 Ogos, 2019.

Berita penuh di sini.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen