RM642 juta yang dipindahkan dari Kementerian Kewangan Arab Saudi dan Putera Faisal Turki, tiada kaitan dengan pertuduhan jenayah SRC International Naji Razak, kata penyiasat utama kes berkenaan kepada mahkamah hari ini.
Penolong Kanan Pesuruhjaya (PKPj) Bahagian Operasi Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rosli Hussain berkata, wang derma yang didakwa oleh Najib “digunakan” menjelang Jun 2014, sedangkan wang SRC International yang berkaitan dengan perbicaraan itu hanya dipindahkan ke akaun Najib pada Disember tahun itu.
“Semakan mendapati wang itu digunakan pada Jun 2014 dan ia tiada kaitan dengan dana SRC yang masuk ke akaun Najib,” kata Rosli pada perbicaraan kes Najib berkaitan SRC International di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Rosli juga berkata beliau tidak menjalankan siasatan lanjut ke atas putera dan entiti asing kerana mereka buka di bawah skop siasatannya dalam kes SRC.
“Mereka terlibat dalam siasatan RM2.6 bilion atau 1MDB dan tiada kaitan dengan kes SRC,” kata Rosli ketika diperiksa semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Suhaimi Ibrahim.
Najib berdepan tujuh pertuduhan jenayah kerana menerima RM42 juta dana SRC International dalam akaun bank peribadinya.
Peguam bela mencadangkan Najib mungkin menganggap RM42 juta itu sebahagian daripada derma disebabkan urus niaga berjumlah ratusan juta ke akaun lain beberapa tahun sebelum ini.
Peguam bela sebelum ini turut mencadangkan bahawa Najib menyedari sepenuhnya transaksi dibuat di bawah namanya, dan ia mungkin dikelirukan oleh ahli perniagaan dalam pelarian, Low Taek Jho.
Terdahulu harini, ketika pemeriksaan balas oleh peguam bela Muhammad Shafee Abdullah, Rosli berkata beliau secara peribadi menyerahkan kertas siasatan kepada Peguam Negara ketika itu, Apandi Ali tanpa melalui timbalan pendakwa raya yang dilantik SPRM.
Kertas siasatan yang dibuka pada 6 Julai, 2015 diserahkan kepada Apandi pada 31 Disember, 2015 dan dikembalikan pada 18 Januari, 2016.
Apandi kemudian mengadakan sidang media dan mengumumkan tiada kesalahan jenayah berkaitan SRC International dan dakwaan derma daripada keluarga diraja Arab Saudi.
Pada perbicaraan 1MDB, Najib berdepan 25 pertuduhan jenayah berkaitan dana RM2.3 juta yang bermula esok. – 27 Ogos, 2019.
Komen