Mavcom sedang semak, PSC mungkin berbeza


Ragananthini Vethasalam

MAHB berminat dengan salah satu cadangan yang boleh menyebabkan kadar PSC lebih rendah di lapangan terbang lain berbanding KLIA. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Ogos, 2019.

SATU semakan semula caj penerbangan sedang dijalankan yang berkemungkinan menyaksikan kadar Caj Perkhidmatan Penumpang (PSC) dibezakan mengikut lapangan terbang, kata sumber Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom).

Terdapat tiga cadangan dan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dikatakan tertarik dengan satu cadangan yang akan memberi kadar PSC lebih rendah bagi lapangan terbang lain berbanding KLIA.

Mavcom sedang melakukan semakan semula ke atas semua caj penerbangan dengan matlamat menguatkuasanya pada Januari 2020. Hasil semakan itu akan diumumkan buat kali pertama pada Oktober depan.

“Suruhanjaya sedang bekerja ke arah melaksanakan kadar PSC yang berbeza mengikut lapangan terbang berdasarkan saiz, tahap perkhidmatan dan kemudahannya,” kata sumber.

Mavcom sebelum ini dikecam oleh syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia kerana menyamakan kadar PSC untuk terminal tambang rendah klia2 dan KLIA. Penumpang ke destinasi antarabangsa bukan Asean dicaj sebanyak RM73, tetapi sehingga baru-baru ini, AirAsia hanya mengutip caj sebanyak RM50 kerana mendakwa perkhidmatan dan kemudahan di klia2 adalah jauh lebih rendah kualitinya berbanding KLIA.

Bagaimanapun, selepas saman difailkan MAHB terhadap syarikat itu dan keputusan mahkamah pada Julai lalu, AirAsia mula mengutip PSC penuh sebanyak RM73 pada awal bulan ini.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sebelum ini juga berkata PSC mungkin akan disemak semula.

Mavcom bertanggungjawab menentukan caj lapangan terbang termasuklah PSC, pendaratan pesawat dan bayaran parkir, seperti termaktub dalam Seksyen 46 Akta Mavcom 2015.

Ia menyamakan caj PSC pada 2016, yang berkuatkuasa pada 1 Januari 2017, dan sekali lagi pada tahun lepas, menyebabkan AirAsia enggan mengutip kadar PSC penuh sebanyak RM73 untuk penumpang penerbangan antarabangsa bukan Asean.

Sumber Mavcom berkata semakan semula itu melibatkan pelbagai pihak berkepentingan termasuklah kementerian sejak dua tahun lepas adalah sebahagian daripada semakan semula berkala untuk caj penerbangan di lapangan terbang negara ini. – 27 Ogos, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen