TIKET konsert penyanyi India, SP Balasubramaniam pada 31 Ogos sudah habis dijual sebelum mendapat kebenaran kerajaan, kata agensi persekutuan yang berkuasa meluluskan persembahan artis luar negara.
Puspal atau Agensi Pusat Permohonan Pengambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara dalam satu kenyataan hari ini menjelaskan yang ia tidak pernah mengeluarkan sebarang surat sokongan kepada penganjur- Raaghav Productions- untuk mengadakan konsert itu bermula jam 7 hingga 11 malam pada tarikh Hari Kemerdekaan itu.
Puspal adalah agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia yang bertanggungjawab melulus dan menyelia aktiviti seni artis luar negara di Malaysia.
“Permohonan daripada penganjur untuk mengadakan konsert tersebut pada jam 7 malam pada tarikh yang berkenaan hanya diterima oleh Puspal pada 31 Julai 2019.
“Berdasarkan maklumat daripada penganjur yang dikemukakan kepada Jakim melalui surat bertarikh 13 Ogos 2019, didapati jualan tiket untuk konsert tersebut telah bermula dari bulan Mac 2019 lagi, iaitu sebelum permohonan tersebut dikemukakan kepada Puspal.
“Puspal ingin mengingatkan bahawa pihak penganjur tidak sepatutnya memulakan jualan tiket untuk sebarang acara sebelum kebenaran pihak berkuasa yang berkenaan diperoleh termasuklah surat sokongan daripada Puspal,” katanya.
Puspal juga mendedahkan permohonan dibuat penganjur selepas itu ditolak berdasarkan nasihat Jakim dan berpandangan tarikh konsert wajar diubah ke tarikh lebih sesuai.
Ini adalah kerana 1 Muharam bermula daripada terbenam matahari 31 Ogos 2019 sehingga terbenam matahari 1 September 2019.
“Penganjur kemudiannya telah mengemukakan rayuan dan menjelaskan bahawa mereka telah memulakan penjualan tiket dan membuat perbelanjaan untuk konsert tersebut sebelum kelulusan diperoleh.
“Bagi membantu penganjur dengan mengambil kira kesulitan yang telah mereka alami kerana telah memulakan jualan tiket sebelum mendapat kelulusan, Puspal telah bersetuju untuk membenarkan mereka untuk mengadakan konsert pada 31 Ogos 2019 tetapi diawalkan ke jam 3 petang sehingga 7 malam.”
Puspal berkata penganjur sebelum ini sudah bersetuju dengan syarat tersebut.
“Oleh yang demikian, adalah tidak wajar untuk mewujudkan persepsi yang kurang menyenangkan bahawa konsert tersebut telah diubah masa atas arahan Puspal.”
Isu itu hangat selepas laporan mendedahkan dua konsert artis antarabangsa pada 31 Ogos diawalkan untuk menghormati majlis agama Maal Hijrah yang akan diadakan pada petang itu.
Konsert Balasubramaniam akan diadakan di Plenary Hall, KLCC akan bermula pada jam 3 petang berbanding jadual asal pada 7 malam.
Sementara konsert penyanyi terkenal Taiwan, Bobby Chen di Stadium Melawati, Shah Alam yang dijadualkan pada 7.30 petang diawalkan kepada jam 12 tengahari.
Penganjur konsert Balasubramaniam kemudian memaklumkan perubahan waktu konsert dan alasannya kepada pembeli tiket melalui media sosial.
“Kami dimaklumkan, baru sahaja, yang tidak wajar ada sebarang persembahan selepas 7.30 petang pada 31 Ogos kerana ia bertembung dengan sambutan Awal Muharam.
“Puspal dan Jakim berkata mengadakan konsert selepas 7.30 malam mungkin menyebabkan ketidaksenangan dalam kalangan orang Islam yang boleh menimbulkan kontroversi perkauman.
“Sebagai tanda menghormati sambutan Awam Muharam, dan untuk mendapatkan kelulusan supaya persembahan itu dapat diteruskan, kami tiada ada banyak pilihan selain mengawalkan persembahan untuk mengelak sebarang kejadian tidak diingini ketika persembahan,” kata Raaghav Productions.
Harga tiket konsert itu dijual bermula RM161 sehingga RM1,966.
Syarikat itu akan mengadakan sidang media malam ini untuk menjelaskan isu itu.
Manakala, penganjur Soul9s Production pula berkata keputusan mengawalkan konsert Booby Chen adalah untuk memberi ruang majlis sambutan Maal Hijrah.
Syarikat itu berkata pembeli yang mahu mendapatkan bayaran semula tiket mereka boleh berbuat demikian sebelum 29 Ogos. Syarikat itu juga memohon maaf atas perubahan waktu itu.
Harga tiket konsert Bobby Chen bermula daripada RM188 hingga RM588.
Dokumen Puspal yang tidak membenarkan konsert diadakan pada waktu dicadangkan penganjur dilihat The Malaysian Insight.
“Maal Hijrah adalah hari kebesaran dalam kalendar Islam, dan jika konsert itu dijalankan pada tarikh dan waktu itu, ia boleh menyebabkan kebimbangan dan sensitiviti dalam kalangan rakyat Malaysia yang majoritinya Islam,” tulis dokumen itu.
“Dengan ini, Puspal tidak menyokong persembahan artis luar itu pada 30 Ogos sehingga 1 September 2019.”
Dokumen itu ditandatangani pengerusi Puspal.
Menurut garis panduan rasmi Puspal, agensi itu mempunyai hak menarik balik kelulusan sekiranya persembahan FA (artis luar) atau filem menyentuh isu agama, kaum dan budaya masyarakat Malaysia dan menjejaskan kepentingan negara.
Garis panduan Puspal itu juga melarang konsert terbuka ketika bulan Ramadan dan cuti umum agama. – 26 Ogos, 2019.
Komen