Congo umum penubuhan kerajaan campuran 


Penubuhan itu dibuat tujuh bulan selepas Presiden Felix Tshisekedi secara rasmi dilantik sebagai ketua negara.– Gambar EPA, 26 Ogos, 2019.

CONGO pada Isnin mengumumkan penubuhan kerajaan campuran yang baharu, tujuh bulan selepas Presiden Felix Tshisekedi secara rasmi dilantik sebagai ketua negara, lapor agensi berita Anadolu.

“Ini adalah pengalaman pertama sebuah kerajaan campuran ditubuhkan di negara kita dan perubahan bermula sekarang,” kata Perdana Menteri Sylvester Ilunga Ilunkamba, yang dilantik pada 20 Mei.

“Sebanyak 76.9 peratus menteri yang dilantik terdiri muka baharu,” kata Ilunkamba.

Menurut perjanjian gabungan kuasa, barisan menteri terdiri 65 anggota 42 daripadanya mereka yang pernah berkhidmat di bawah pentadbiran bekas Presiden Joseph Kabila selebihnya wakil parti Direction For Change pimpinan Tshisekedi.

Kerajaan baharu itu juga mempunyai lima naib perdana menteri.

Termasuk 17 peratus menteri wanita dan peratusan itu “masih rendah”, kata Ilunkamba.

“Kita perlu imbangi dengan kepentingan portfolio yang diperuntukkan kepada wanita,” katanya.

Dua wanita Elysee Munembwe Tamukumwe diilantik sebagai timbalan perdana menteri dan  Marie Tumba Nzeza sebagai Menteri Hal Ehwal Luar Negeri.

Antara muka baharu ialah Gilbert Kankonde Malamba memegang portfolio Menteri Dalam Negeri, Jean Baudoin Mayo Mambeke (Menteri Kewangan), David Jolino Diwanpovesa Makelele Ma-muzingi (Menteri Media dan Komunikasi), Eteni Longondo (Menteri Kesihatan) dan Celestin Tunda Ya Kasende (Menteri Keadilan).

Tshisekedi memenangi pilihan raya presiden pada 30 Disember 2018 dengan majoriti 38.6 peratus undi, manakala parti Kabila menang mudah untuk pilihan raya dewan udangan negeri, senator dan wilayah. – Bernama, 26 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen