KEMENTERIAN Pengangkutan menubuhkan jawatankuasa siasatan bagi menentukan punca gangguan sistem selama empat hari di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kata Anthony Loke.
Menteri pengangkutan berkata, jawatankuasa terdiri daripada enam anggota itu akan menyiasat punca gangguan sistem Total Airport Management (TAMS) menyebabkan kelewatan penerbangan, penumpang terpaksa beratur panjang di KLIA.
“Jawatankuasa itu juga akan mencadangkan langkah untuk memperbaiki perkhidmatan dan memastikan insiden itu tidak berulang pada masa akan datang,” kata Loke dalam satu kenyataan hari ini.
Jawatankuasa itu yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha kementerian, Mohd Khairul Adib Abdul Rahman adalah terdiri daripada Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom), Dr. Nungsari Ahmad Radhi; Anggota Mavcom, Long See Wool dan anggota Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAM), Afzal Abdul Rahim.
Selain itu, tambahnya, ia juga disertai Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Ahmad Nizar Zolfakar; Ketua Eksekutif, Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Ir. Md. Shah Nuri Md Zain serta Bahagian Udara Kementerian Pengangkutan selaku sekretariat.
Kegagalan sistem itu menjejaskan sistem paparan informasi penerbangan (FIDS), kauter daftar masuk, sistem kendalian bagasi, WiFi dan sistem kad kredit di kedai runcit, makanan dan minuman.
Turut dilaporkan bahawa gangguan teknikal itu merupakan aduan utama yang pertama di KLIA sejak dibuka pada bulan Jun 1998.
Sebelum ini kegagalan kuasa pernah menyebabkan gangguan kepada operasi yang menjejaskan seluruh KLIA dan menyebabkan enam penerbangan ditangguhkan pada September, 2003. – 26 Ogos, 2019
Komen