HELIKOPTER tentera memenuhi ruang udara dan ambulans turut membanjiri jalan raya di timur laut Myanmar, membawa bantuan kepada ribuan penduduk yang kehilangan tempat tinggal berikutan pertempuran antara tentera dan pemberontak.
Kenderaan terbakar serta kelongsong peluru dilihat memenuhi jalan raya di sepanjang laluan ke negeri Shan di Kutkai, iaitu kawasan pergunungan yang masih diancam kumpulan etnik bersenjata yang mahu kuasa autonomi serta kawalan sepenuhnya ke atas tanah dan sumber di kawasan berkenaan.
“Kami masih takut untuk kembali ke rumah,” kata bekas guru berusia 63 tahun, Ba Yi, kepada AFP ketika berlindung di sebuah biara.
“Setiap masa saya dengar bunyi letupan, saya mahu lari dari sini.”
Kawasan berhampiran sempadan China berdepan konflik bersenjata sejak berdekad lalu, dan pemimpin Myamnar Aung San Suu Kyi berikrar untuk memulihka keamanan apabila mengambil alih pentadbiran negara berkenaan pada 2016.
Ia juga menjadi pusat kepada apa yang disifatkan oleh pakar sebagai wilayah penghasilan methamphetamine terbesar di rantau ini, sekali gus menyemarakkan lagi jaringan konflik.
Pertempuran di wilayah terbabit semakin meningkat selepas kumpulan pemberontak menyerang akademi tentera dan pusat kawalan polis yang menyebabkan 15 orang terbunuh awal bulan ini, dalam operasi tentera yang dikatakan untuk membanteras aktiviti dadah.
Organisasi masyarakat sivil tempatan berkata, lebih 20,000 penduduk kehilangan tempat tinggal.
‘Walaupun saya mahu kembali ke kampung halaman, saya tak boleh berbuat demikian….situasi masih tidak aman di kampung saya,” kata pelajar Lyaw Aye Peint, 18.
Kedutaan Amerika Syarikat turut mengeluarkan amaran perjalanan bulan ini terhadap banyak pekan di negeri Shan susulan “konflik bersenjata”.
Pekerja NGO turut dikeluarkan dari wilayah berkenaan sejak beberapa minggu lalu selepas seorang pemandu ambulans terbunuh dalam serangan oleh kumpulan pemberontak.
Namun pekerja penyelamat masih memasuki kawasan bergolak itu untuk menghantar bantuan kepada penduduk.
“Misi utama kami adalah untuk menghantar bantuan kepada penduduk kampung dan berusaha untuk menyelamatkan mereka dengan memindahkan mereka ke pusat perlindungan,” kata Tin Win yang merupakan salah seorang daripada sukarelawan. – AFP, 26 Ogos, 2019.
Komen