Aktivis, waris gesa kerajaan Thai siasat kematian tahanan


Tentera sebelum ini berkata ia menubuhkan sebuah pasukan khas untuk menyiasat dakwaan bahawa Abdullah diseksa semasa dalam tahanan sehingga mati. – Gambar EPA, 26 Ogos, 2019.

AKTIVIS hak asasi manusia dan ahli keluarga menggesa kerajaan Thailand menyiasat kematian seorang lelaki yang meninggal dunia selepas tidak sedarkan diri semasa ditahan untuk disiasat di sebuah kem tentera di selatan negara itu, lapor Reuters.

Abdullah Isamusa, 34, meninggal dunia di sebuah hospital di Hatyai semalam selepas tidak sedarkan diri selama lebih 30 hari sejak 20 Julai.

Tentera sebelum ini berkata ia menubuhkan sebuah pasukan khas untuk menyiasat dakwaan bahawa Abdullah diseksa semasa dalam tahanan sehingga membawa kepada kematiannya.

Sepupu Abdullah, Mohammatrahamat Mamu dipetik berkata siasatan itu setakat ini tidak menunjukkan sebarang hasil.

“Kami mahu ketelusan atas apa yang terjadi,” katanya, seperti dipetik Reuters.

Kenyataan daripada pihak hospital menyebut Abdullah meninggal dunia akibat paru-paru berair. Laporan itu bagaimanapun disangkal oleh pihak keluarga dan waris.

Dalam sepucuk surat kepada Perdana Menteri Prayuth Chan-o-cha baru-baru ini, mereka menggesa diberikan keadilan. Mereka menafikan tuduhan pihak berkuasa bahawa Abdullah terlibat dengan kegiatan pejuang pembebasan Patani. – 26 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen