Sekatan India beri kesan terhadap sektor pelancongan Kashmir


Tasik Dal di Srinagar, Kashmir yang sebelum ini sibuk dengan kehadiran pelancong kini lengang akibat sekatan yang dikenakan pihak berkuasa India.– AFP, 26 Ogos, 2019.

RUMAH bot di Tasik Dal, Srinagar yang biasanya dipenuhi pelancong kini lengang sejak tiga minggu lalu susulan sekatan yang dikenakan oleh India di wilayah berkenaan.

Pada Ogos lalu, pihak berkuasa India meminta pelancong dan pelawat meninggalkan kawasan itu serta merta kerana “ancaman pengganas”, beberapa hari sebelum keputusan New Delhi untuk menjadikan kawasan berkenaan di bawah pemerintahannya.

“Mereka memeriksa ke semua rumah bot, hotel dan jalanan untuk memaksa semua pelancong keluar dari Kashmir,” kata Shikara yang merupakan pemilik rumah bot kepada AFP.

“Sehingga kini mereka masih memeriksa hotel di kawasan ini untuk memastikan semua pelancong keluar.”

Jalan raya yang sebelum ini sesak dengan pelancong dan peniaga tempatan kini lengang. Malah sekitar bandar berkenaan turut dipasang kawat duri, pusat pemeriksaan keselamatan dengan tambahan anggota tentera dari New Delhi.

Pasukan tentera tambahan dihantar ke wilayah berkenaan bagi membantu setengah juta anggita tentera sedia ada di wilayah itu.

Pihak berkuasa turut memutuskan semua telekomunikasi, termasuk internet dan talian telefon, menjadikan perhubungan dengan dunia luar cukup sukar.

“Ini bukan apa yang kita jangkakan,” kata pasangan Taiwan, yang merupakan satu-satunya pelancong ditemui AFP di Srinagar.

Mereka sudah merancang lawatan ke wilayah berkenaan sejak beberapa tahun lalu.

“Kini tidak ramai yang boleh menjalankan kehidupan harian tanpa teknologi moden, tanpa internet. Ia menyukarkan kehidupan semua pihak terutamanya pelancong.

“Kami sangat bimbang dengan situasi ini.” – AFP, 26 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen