Kalimantan Timur ibu kota baru Indonesia, umum Jokowi


Jokowi mengumumkan ibu kota baru Indonesia itu terletak dalam daerah Penajam Paser Utara dan Kutai Kertanegara, dekat dengan Balikpapan dan Samarinda. – Gambar AFP, 26 Ogos, 2019.

IBU kota baru Indonesia akan dipindahkan dari Jakarta ke Kalimantan Timur, kata Presiden Joko Widodo, kerana kedudukannya yang strategik dan terhindar daripada lingkungan bencana.

Jokowi mengumumkan ibu kota baru Indonesia itu terletak dalam daerah Penajam Paser Utara dan Kutai Kertanegara, dekat dengan Balikpapan dan Samarinda.

“Pemerintah sudah melakukan kajian mendalam dan mengintensifkan kajiannya dalam tiga tahun terakhir. 

“Hasil kajian menyimpulkan lokasi ibu kota baru adalah sebagian Kabupaten Penajam Paser Utara dan sebagian di Kabupaten Kutai Kartanegara, Kalimantan Timur,” katanya, pada sidang pengumuman yang disiarkan langsung dari Istana Presiden di Jakarta, tengah hari tadi.

Menurut Jokowi, daerah di Kalimantan Timur itu dipilih kerana ia mempunyai risiko bencana yang sangat kecil, baik banjir, gempa bumi, tsunami, kebakaran hutan dan apatah lagi, gunung berapi.

Wilayah itu juga dipilih kerana dari segi geografi ia terletak di tengah kepulauan Indonesia, tambahnya.

Daerah pentadbiran baru itu akan dibangunkan di atas kawasan seluar 180 ribu hektar, yang akan membawa bersamanya pembangunan industri di Kalimantan.

Balikpapan ialah sebuah bandar pelabuhan yang juga menempatkan loji penapis minyak sementara Samarinda merupakan ibu kota wilayah Kalimantan Timur.

Kedua-dua bandar itu lengkap dengan kemudahan infrastruktur yang tersedia termasuk lapangan terbang antarabangsa yang terjangkau lebih kurang dua jam dari Jakarta. 

Perpindahan yang digambarkan sebagai sudah tidak dapat dielak lagi demi masa depan Indonesia, dijangka menelan belanja RM138 bilion.

Berdasarkan pelan perancangan yang dibentangkan Kementerian Perancangan Pembangunan Nasional baru-baru ini, program pembangunan ibu kota baru itu akan dimulakan dengan pembinaan infrastruktur asas dan pejabat kerajaan.

Perpindahan pertama dijangka bermula pada 2024, pada tahun sama Jokowi dijadual menamatkan mandat penggal keduanya sebagai presiden. – 26 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen