STATUS rahsia Perintah Tetap Ketua Polis Negara (IGSO) perlu dibatalkan jika Putrajaya benar-benar mahu menambah baik pasukan polis, kata Pasukan Khas Badan Peguam hari ini.
M Ramachelvan, yang merupakan pengerusi bersama pasukan Badan Peguam tentang Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) berkata, perubahan status kerahsiaan IGSO akan mengembalikan keyakinan rakyat dan meningkatkan integriti polis.
IGSO adalah arahan umum, perintah dan maklumat yang diguna pakai pasukan polis.
Ia mengandungi arahan pentadbiran daripada ketua polis mengenai pelbagai perkara.
“IGSO adalah rahsia sulit. Ia tidak boleh didedahkan kepada awam tetapi jika kerajaan serius tentang pembaharuan tulen, ia perlu diubah statusnya.
“Jika tidak dilakukan, ia tidak akan memenuhi matlamat mempunyai sebuah badan penyelia yang boleh meneliti (tindakan) pasukan polis.
“IGSO adalah arahan kepada semua anggota polis tentang bagaimana mereka boleh menembak, dalam keadaan apa dan sebagainya. Rakyat perlu tahu perkara ini,” kata Ramchelvan selepas taklimat Rang Undang-Undang IPCMC hari ini.
RUU IPCMC 2019 dibentangkan untuk bacaan kali pertama pada 18 Julai lalu bagi menggantikan Suruhanjaya Integriti Agensi Pelaksanaan (EAIC). Ia bertujuan untuk menambah baik integriti dan pengurusan pasukan polis.
Ia akan bertindak selaku badan bebas yang meneliti dan menyiasat aduan dan salah laku pasukan polis dengan lebih menyeluruh.

Naib Presiden Badan Peguam Roger Chan juga bersetuju dengan cadangan Ramachelvan.
“IGSO adalah arahan dan perintah dan ia perlu didedahkan kepada awam kecuali melibatkan isu keselamatan negara. Bagaimanapun, ketika ini IGSO tidak melibatkan perkara keselamatan negara,” kata Chan.
Seorang lagi ahli pasukan khas IPCMC, Andrew Khoo pula berkata, tidak masuk akal IGSO terus menjadi rahsia sedangkan di negara maju lain arahan itu didedahkan kepada awam.
“Anda boleh layari Internet dan jumpa IGSO di Britain, beberapa daerah di Kanada dan negara lain tetapi anda tidak akan jumpa apa-apa mengenai IGSO kita.
“Status rahsianya perlu diubah jika kita serius hendak laksanakan IPCMC,” kata Khoo.
Sebelum ini, Menteri Undang-Undang Liew Vui Keong dari Jabatan Perdana Menteri berkata RUU IPCMC yang dijadualkan untuk bacaan kali kedua pada sidang Parlimen akan datang pada Oktober masih terbuka untuk sebarang penambahbaikan.
Katanya, RUU itu dijangka dibentangkan sebelum pembentangan Belanjawan 2020.

Mei lalu, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador yang menyokong pelaksanaan IPCMC memberi jaminan yang pasukan itu akan menerima suruhanjaya bebas itu.
Menurutnya, menjadi tugasnya untuk menyakinkan anggota polis selepas Putrajaya melengkapkan draf RUU IPCMC.
IPCMC pertama kali dicadangkan penubuhannya oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja (RIC) pada 2005 untuk penambahbaikan pasukan polis susulan kes kematian dalam tahanan yang banyak berlaku.
Bagaimanapun, pada 2006, Ketua Polis Negara ketika itu Mohd Bakri Omar membantah rancangan itu.
Pasukan Khas IPCMC Badan Peguam hari ini juga mencadangkan supaya suruhanjaya itu dibenarkan menyiasat ketua polis negara.
Ia mendedahkan di bawah Klausa 22 RUU itu, ketua polis dikecualikan daripada siasatan IPCMC.
“IPCMC perlu dimasukkan ke dalam RUU itu. Mengapa dia perlu dikecualikan?” soal Ramchelvam. – 26 Ogos, 2019.
Komen