Kes 1MDB, mahkamah benarkan semakan pelantikan Sri Ram


Bede Hong

Peguam Najib Razak, Muhammad Shafee Abdullah memohon Gopal Sri Ram disingkirkan daripada menjadi pendakwa raya khas kes 1MDB yang dijadualkan bermula Rabu ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 26 Ogos, 2019.

MAHKAMAH Rayuan membenarkan semakan kehakiman dibuat ke atas pelantikan Gopal Sri Ram selaku pendakwa raya khas kanan untuk kes 1Malaysia Development Berhad berkaitan Najib Razak, dua hari sebelum ia dijadualkan berlangsung.

Panel tiga hakim diketuai Hakim Hasnah Mohamed Hashim sebulat suara menerima permohonan peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah yang meminta semakan kehakiman dibuat untuk menyingkirkan Sri Ram daripada kes itu.

Pengurusan kes dijadualkan berlangsung esok di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

“Jika mereka bijak, mereka akan tangguhkan kes (1MDB) pada Rabu kerana mana-mana pendakwaan oleh pendakwa raya tidak layak akan membatalkan kes,” kata Shafee kepada wartawan selepas penghakiman itu dikeluarkan.

Tetapi, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib berkata perbicaraan kes 1MDB pada Rabu itu “akan berjalan seperti dijadualkan.”

“Kami akan menentukan tindakan seterusnya,” kata Akram.

Najib berdepan 25 pertuduhan berkaitan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB. Prosiding pendakwaan untuk kes SRC International yang sedang berlangsung pula sepatutnya tamat esok.

Najib dan Shafee membuat permohonan berasingan semakan kehakiman di mahkamah sivil untuk membatalkan pelantikan Sri Ram.

Shafee mahukan mahkamah membatalkan kelayakan Sri Ram untuk menjadi pendakwa raya dalam kesnya berkaitan empat pertuduhan jenayah menerima RM9.5 juta dari Najib.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak kedua-dua permohonan pada 20 Februari lepas.

Peguam Negara Tommy Thomas mengetuai pasukan pendakwaan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 26 Ogos, 2019.

Dalam penghujahan Najib yang didengar hari ini, peguam menggunakan butiran surat pelantikan Sri Ram yang diperolehi selepas Mahkamah Persekutuan mengarahkan ia didedahkan pada 7 Ogos lalu.

“Kami mendapati ada merit dalam rayuan,” kata Hasnah yang membacakan penghakiman panel yang juga terdiri daripada Hakim Lau Bee Han dan Has Zanah Mehat.

“Kami berpandangan yang alamiah dan bidang kuasa dalam semakan kehakiman serta usul membatalkan kelayakan difailkan di mahkamah jenayah adalah berbeza dan berlainan.

“Isu pertindihan tidak wujud kerana penyelesaian yang ingin dicapai juga berbeza,” kata Hasnah dalam membenarkan rayuan Najib dan Shafee.

Panel memutuskan semakan kehakiman tidak dibuat “secara semborono” seterusnya membatalkan penghakiman mahkamah tinggi dibuat pada 20 Februari lalu.

Sebelum itu, Shafee berhujah yang pelantikan Sri Ram dibuat dibawah Seksyen 376 Kanun Prosedur Jenayah yang hanya terpakai kepada timbalan pendakwa raya dan bukannya peguam di luar Jabatan Peguam Negara.

Katanya, Sri Ram juga diberikan kuasa siasatan dan akses kepada pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan polis secara salah.

Peguam Negara Tommy Thomas yang mengetuai pihak pendakwaan bagaimanapun tidak bercakap dengan wartawan yang menunggu di luar mahkamah.

Permohonan sivil hari ini tidak memerlukan kehadiran Najib di mahkamah.

Sri Ram,77, adalah tokoh ulung bidang guaman negara merupakan bekas hakim Mahkamah Persekutuan. Beliau pernah mewakili Anwar Ibrahim dalam perbicaraan liwat kedua.

Beliau juga kini mengetuai pendakwaan dalam perbicaraan International Petroleum Investment Co (IPIC) melibatkan Najib dan bekas ketua setiausaha perbendaharaan Mohd Irwan Serigar Abdullah, serta kes korupsi dan pengubahan wang haram terhadap Rosmah Mansor dan Riza Aziz. – 26 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen