PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Donald Trump semalam mencadangkan supaya mengggunkan bom nuklear untuk menghentikan taufan, lapor Axios.
Portal berita itu melaporkan pada satu taklimat berkenaan taufan Trump bertanya apakah kemungkinan taufan yang terbentuk di pantai Afrika dapat dicegah dengan bom nuklear.
Menurut beberapa sumber, laporan Axios menyebut jawapan Trump itu menyebabkan hadirin terpinga dan berfikir, “Apa perlu kita buat?”
Axios bagaimanapun tidak menyatakan bilakah taklimat itu berlangsung.
Ini bukan pertama kali presiden itu dilaporkan membuat cadangan seperti itu. Pada 2017, Trump bertanya kepada seorang pegawai sama ada taufan boleh dihentikan dengan bom.
Trump ketika itu tidak menyatakan perlu menggunakan bom nuklear.
Cadangan seperti itu asalnya pernah dicadangkan oleh saintis kerajaan pada 1950-an ketika di bawah pentadbiran bekas presiden Dwight Eisenhower.
Sejak itu, idea itu terus muncul walaupun saintis bersetuju ia tidak akan berjaya. Pentadbiran Atmosfera dan Lautan Nasional (NOAA) ada menerangkan dalam satu halaman khusus mengenainya.
“Semasa musim taufan, pasti timbul cadangan supaya gunakan saja senjata nuklear untuk memusnahkannya,” kata NOAA.
Tambahnya, bukan sahaja bom nuklear tidak dapat menghentikan taufan malah ia akan menyebarkan bahan radioaktif dengan cepat.
“Pendek kata, ia memang bukan satu cadangan yang bagus.” – AFP, 26 Ogos, 2019.
Komen