KETUA Pemuda Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mewakili dirinya sendiri ketika melakukan langkah perdamaian dengan pendakwah kontroversi Zakir Naik, kata Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin.
Menteri Belia dan Sukan itu dikecam kerana berkongsi gambar makan malam bersama Zakir baru-baru ini selepas meminta penceramah kelahiran Mumbai itu dihantar pulang ke India kerana memainkan isu perkauman di negara ini.
Muhyiddin yang merupakan Presiden Bersatu berkata pandangan yang dibuat Syed Saddiq itu bukan pandangan kerajaan.
“Syed Saddiq bukan satu-satunya yang bertemu dengan Zakir Naik, ramai ahli pembangkang juga telah bertemu dengannya.
“Bagi saya ia tidak penting, kita tidak terikat dengan pandangan mereka. Kita terikat dengan kedaulatan undang-undang,” katanya.
Beliau menambah bahawa pertemuan makan malam Syed Saddiq dengan Zakir tidak mengganggu siasatan terhadap perceramah berkenaan.
“Apa pun ia tidak akan menggangu siasatan yang sedang dijalankan,” katanya.
Syed Saddiq sebelum ini menyelar tindakan Zakir yang menyampaikan ceramah menyentuh sensitiviti kaum dan mendesak agar penceramah itu dihantar pulang ke India.
Bagaimanapun beliau membuat kejutan pada Sabtu apabila mengeluarkan kenyataan di Twitter bahawa setiap orang membuat kesilapan dan Zakir sudah meminta maaf sambil menambah beliau juga telah membuat kesilapan dan berlapang dada apabila ditegur.
“Tidak perlu nak mendabik dada dan mengeruhkan keadaan lagi. Mari teruskan hidup. Negara ini perlu diperbaiki!,” tulisnya dalam Twitter dengan gambarnya bersama Zakir. – 26 Ogos, 2019.
Berita penuh di sini.
Komen