Dr Mahathir nafi bersendirian


Mohd Farhan Darwis Lee Chi Leong

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Dr Mahathir Mohamad menafikan parti kerajaan itu berada dalam keadaan retak menanti belah. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 26 Ogos, 2019.

PENGERUSI Pakatan Harapan (PH) Dr Mahathir Mohamad menafikan parti kerajaan itu berada dalam keadaan retak menanti belah.

Perdana menteri itu sebaliknya berkata, dalam PH, tiada sebarang isu seperti itu malah, anggota Kabinet masih boleh membincangkan pelbagai isu termasuk keputusan yang membabitkan isu kritikal.

“Kamu boleh lihat saya berjalan ke sana ke mari, orang datang dan bersalaman dengan saya…termasuk di dalam parti, setiap anggota Kabinet bersama-sama dan kami boleh buat keputusan termasuk dalam isu kritikal,” kata Dr Mahathir.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mersmikan persidangan Pelancongan Dunia kali ke-5 di ibu negara, hari ini.

Pengerusi Bersatu itu berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, yang mendakwa PH sedang mengalami gangren dan akan mati perlahan-lahan kerana krisis dalaman secara terbuka antara parti komponennya.

Ahmad Zahid mendakwa, PH bersungguh-sungguh cuba menunjukkan kepada rakyat parti itu masih relevan dengan kehendak semasa tetapi realitinya jauh daripada apa yang mahu ia gambarkan.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu mendakwa, PH juga akan mati kerana gabungan empat parti itu berdepan dengan krisis kepercayaan sesama pemimpin dan ahli.

Menurutnya, Dr Mahathir juga bergerak bersendirian kerana Presiden PKR Anwar Ibrahim dan pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang aktif merancang strategi menolak kepimpinan beliau. – 26 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen