Zakir tidak akan terlepas dari undang-undang, kata Muhyiddin


Timothy Achariam

Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berkata beliau sedang menunggu laporan siasatan penuh yang dijalankan terhadap penceramah kontroversi Zakir Naik. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 26 Ogos, 2019.

PENDAKWAH Zakir Naik tidak akan terlepas dari undang-undang dan tindakan akan diambil terhadapnya sekiranya terbukti membuat kenyataan menghasut, kata Muhyiddin Yassin.

Menteri Dalam Negeri itu berkata, polis masih menyiasat Zakir yang berasal dari Mumbai, India selepas lebih 100 laporan dibuat terhadapnya kerana menghasut.

“Tidak ada seorang pun akan terlepas dari undang-undang sama ada bukan warganegara atau penduduk tetap,” katanya ketika ditemui dalam satu program di Universiti Islam Antarabangsa (UiA) di Gombak hari ini.

Muhyiddin berkata, beliau kini sedang menunggu laporan penuh siasatan polis.

“Kami terikat dengan kedaulatan undang-undang dan perlu digunakan. Sebelum tindakan diambil dan hukuman dijatuhkan, siasatan perlu dilakukan kerana perlu ada keadilan dalam kedaulatan undang-undang,” katanya.

Tambahnya, kerajaan tidak akan tunduk kepada tekanan daripada orang ramai untuk menegur pendakwah berkenaan.

“Kita tidak boleh menghukum atau menghalau dia atas desakan awam. Kami akan menyiasat berdasarkan data dan fakta,” katanya.

Menurutnya, perbincangan mengenai sama ada Zakir perlu dihantar pulang atau tidak akan menjejaskan siasatan polis.

“Ia adalah hak kita untuk tidak menghalau sesiapa pun walaupun ada tuntutan dari negara lain.

“Ia tidak bergantung pada polis untuk menghalaunya kerana tidak berada dalam bidang mereka sebaliknya tertakluk kepada undang-undang tertentu.

“Undang-undang Malaysia tidak mewajibkan kita menghantar seseorang kembali ke negara asalnya atas permintaan kerajaan,” katanya. – 26 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen