Jokowi bakal perkenal tiga kementerian baharu 


Presiden Indonesia Joko Widodo atau Jokowi akan memperkenalkan tiga kementerian baharu dalam kabinet penggal keduanya. – Gambar EPA, 26 Ogos, 2019.

PRESIDEN Indonesia Joko Widodo atau Jokowi akan memperkenalkan tiga kementerian baharu dalam kabinet penggal keduanya yang sekali gus membayangkan fokus serta hala tuju baharu pentadbirannya untuk lima tahun akan datang.

Tiga kementerian itu mencakupi portfolio pelaburan, ekonomi digital dan industri kreatif, lapor majalah mingguan Tempo.

“Kita perlu kementerian baharu tersebut kerana keadaan global,” kata Jokowi, seperti dipetik dalam wawancara dengan Tempo.

Tiga kementerian baharu itu akan mengambil peranan yang selama ini dilaksanakan pada peringkat agensi kerajaan.

Kementerian Pelaburan akan mengambil alih peranan Badan Penyelaras Pelaburan sementara Kementerian Ekonomi Digital dan Kementerian Industri Kreatif dikembangkan daripada Badan Ekonomi Kreatif.

Dalam wawancara dengan Tempo yang terbit hari ini, Jokowi turut membayang ada kemungkinan portfolio ekonomi digital dan industri kreatif digabungkan sebagai sebuah kementerian.

Bagaimanapun beliau jelas mahu portfolio itu dikendalikan pengusaha yang sudah terbukti berjaya mengangkat perusahaan digital.

“Stoknya banyak, anak muda,” kata Jokowi.

Presiden yang terpilih semula untuk penggal kedua dan terakhir itu sebelum ini membayangkan kabinet baharunya nanti akan menggabungkan 55% profesional dan 45% pemimpin politik.

Beliau juga sebelum ini dilapor berkata akan menggabungkan portfolio luar negeri dan perdagangan antarabangsa di bawah satu kementerian.

Beberapa kementerian juga akan dipecahkan, antaranya Kementerian Alam Sekitar dan Perhutanan, sementara Kementerian Belia dan Sukan akan dimansuhkan.

Portfolio pendidikan dan kebudayaan juga akan disusun semula dan diselaraskan, termasuk kemungkinan portfolio khusus untuk pendidikan tinggi.

Kepada Tempo, Jokowi juga mengesahkan beliau sudah mengenal pasti nama-nama calon menteri dalam kabinetnya tetapi enggan mengumumkannya lagi buat masa ini.

“Kita melihat keadaan. Tergesa-gesa juga untuk apa,” katanya.

Jokowi akan mengangkat sumpah jawatan penggal kedua sehingga 2024 pada 20 Oktober ini. – 26 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen