Tiada lagi pelabur ke Malaysia kalau layan Lynas macam 'paria', kata PM


Mohd Farhan Darwis Lee Chi Leong

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata Malaysia juga berpotensi kehilangan sumber pelaburan yang besar sekiranya tuntutan kumpulan penentang yang mahukan syarikat pemproses nadir bumi itu dihalau keluar dari Malaysia dipenuhi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Ogos, 2019.

TIADA lagi syarikat luar negara akan melabur di Malaysia sekiranya layanan buruk berterusan dikenakan terhadap mereka seperti yang berlaku kepada Lynas Malaysia Sdn Bhd, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir berkata, Malaysia juga berpotensi kehilangan sumber pelaburan yang besar sekiranya tuntutan kumpulan penentang yang mahukan syarikat pemproses nadir bumi itu dihalau keluar dari Malaysia dipenuhi.

“Kita jemput mereka melabur di Malaysia, tapi kemudian kita sedar mereka keluarkan sisa, itu masalahnya, kita hantar pakar untuk tentukan sama ada ia berbahaya, pakar kemudian sahkan ia tak bahaya, mereka yang menentang Lynas mahu keluarkan Lynas (dari Malaysia) ini pelaburan yang besar. 

“Pelaburan bernilai RM1.7 billion mewujudkan 700 pekerjaan berpendapatan tinggi. 

“Ia penting untuk pelaburan kita, kalau kita layan Lynas macam paria dan suruh mereka ke luar (dari Malaysia) orang lain takkan melabur dalam negara kita,” katanya. 

Ketua Pegawai Operasi dan Pengarah Urusan Lynas Corporation Ltd Amanda Lacaze pada Oktober 2018 berkata sejak memulakan operasi di Malaysia pada 2012, keseluruhan pelaburan modal yang diperuntukkan bagi operasi di Lynas Malaysia berjumlah hampir RM3 bilion.

Syarikat itu juga katanya memperuntukkan kira-kira RM500 juta setahun bagi operasi tempatan.

Beliau dilaporkan berkata, kira-kira 97% daripada 650 tenaga kerja di Lynas Malaysia terdiri daripada rakyat tempatan dengan 70% daripada pengurusan syarikat juga adalah rakyat Malaysia.

Parti komponen kerajaan dari Bersatu juga bersetuju Lynas meneruskan operasi mereka di kilangnya di Kawaasan Perindustrian Gebeng, Kuantan.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MT) Bersatu, Wan Saiful Wan Jan berkata, Lynas merupakan pelaburan besar kepada negara dan sentiasa mematuhi peraturan disyaratkan kerajaan, sekali gus menunjukkan ketelusan dan keseriusan mereka. – 26 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen