Tentera Brazil padam kebakaran hutan Amazon


Asap tebal di hutan Amazon dilihat dari Porto Velho, Rondonia di Brazil. – Gambar AFP, 26 Ogos, 2019.

BRAZIL semalam menghantar dua pesawat C-130 Hercules untuk memadam kebakaran besar-besaran di hutan Amazon.

Kebakaran hutan hujan terbesar dunia itu menyebabkan asap tebal menyelaputi bandar Porto Velho di Rondonia, Brazil.

Kementerian pertahanan negara itu berkata pesawat pengangkut itu sudah mula melepaskan beribu liter air untuk memadam kebakaran terburuk dalam tempoh beberapa tahun.

Saintis berkata peningkatan pembersihan hutan pada musim kering untuk perladangan telah memburukkan lagi keadaan.

“Semakin teruk saban tahun. Tahun ini, asap makin teruk,” kata seorang penduduk di Porto Velho yang mempunyai setengah juta penduduk.

Tujuh negeri termasuk Rondonia meminta bantuan tentera untuk memadam kebakaran. Lebih 43,000 anggota tentera termasuk anggota bomba telah dikerah, kata pihak berkuasa.

Penghantaran anggota keselamatan itu turut mendapat kelulusan Menteri Kehakiman dan Keselamatan Awam Brazil Sergio Moro.

Tragedi kebakaran hutan Amazon mendapat bantahan antarabangsa dan menjadi topik utama pada Sidang G7 di Biarritz, Perancis. – AFP, 26 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen