Polis Hong Kong lepas tembakan terhadap perusuh


Pertembungan antara perusuh dan polis di Tsuen Wan semalam bertukar menjadi ganas. – Gambar AFP, 26 Ogos, 2019.

POLIS Hong Kong buat pertama kalinya melepaskan peluru hidup dan meriam air terhadap perusuh semalam, sepanjang rusuhan dalam tempoh tiga bulan.

Pertembungan antara perusuh dan polis di Tsuen Wan petang semalam bertukar menjadi ganas, menyebabkan seorang anggota polis melepaskan tembakan.

“Saya difahamkan seorang anggota polis baru saja melepaskan satu das tembakan,” kata Penguasa Leung Kwok Win kepada pemberita.

“Ia dilakukan seorang pegawai polis beruniform.”

Ia merupakan tembakan pertama yang dilepaskan dalam rusuhan sepanjang tiga bulan lalu.

Beribu penduduk Hong Kong membantah secara aman dalam hujan lebat semalam, tetapi kemudian sekumpulan perusuh membaling batu-bata dan molotov cocktail ke arah polis.

Polis juga pertama kali menggunakan meriam air selepas menembak gas pemedih mata untuk menyuraikan perusuh. Tiada kecederaan dilaporkan.

Polis sebelum ini berkata meriam air hanya akan digunakan apabila berlaku rusuhan besar-besar besaran dan ganas. – AFP, 26 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen