7 maut pesawat ringan bertembung helikopter di Sepanyol


Nahas berlaku semalam di bandar Inca pada pukul 1.35 petang waktu tempatan. – Gambar AFP, 26 Ogos, 2019.

TUJUH termasuk dua kanak-kanak maut selepas sebuah helikopter bertembung dengan sebuah pesawat ringan di Pulau Mallorca, Sepanyol semalam, kata pihak berkuasa.

Nahas berlaku di bandar Inca pada pukul 1.35 petang waktu tempatan, menurut pihak berkuasa Kepulauan Balearic di Twitter.

Kesemua penumpang - dua dalam pesawat ringan dan lima dalam helikopter - terbunuh dalam kejadian.

Sepasang suami isteri dan dua anak mereka menaiki helikopter yang didaftarkan di Jerman, kata jurucakap pihak berkuasa.

“Helikopter itu didaftar di Jerman tetapi itu tidak bermaksud penumpang adalah rakyat negara itu,” katanya sambil menegaskan siasatan kini sedang dijalankan.

Perdana Menteri Sepanyol Pedro Sanchez menerusi Twitter mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa. – AFP, 26 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen