Beri hak tanah Orang Asli, bukan pindahkan mereka, kata pakar


Sheridan Mahavera

Liku kehidupan Orang Asli di semenanjung dan kaum peribumi di Sabah dan Sarawak, sekali lagi menjadi perhatian dalam laporan Prof Philip Alston, Pelapor Khas PBB Berhubung Kemiskinan Tegar dan Hak Asasi Manusia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Ogos, 2019.

SUKU kaum peribumi harus dibiarkan terus tinggal di rumah-rumah tradisi mereka dan diberi hak ke atas tanah adat, bukannya dipindahkan ke kawasan projek pinggir bandar atau penempatan ladang, kata pakar kajian kadar kemiskinan.

Pakar-pakar dari Malaysia dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), berkata pendekatan ini adalah lebih baik daripada strategi semasa yang gagal meningkatkan kualiti kehidupan suku kaum asli di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Mereka menggesa kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk melepaskan diri dari dasar-dasar rejim Barisan Nasional (BN) sebelum ini untuk membuat perubahan bermakna terhadap taraf hidup salah satu komuniti yang paling daif di negara ini.

Pada masa yang sama, kerajaan perlu memperbaiki akses mereka terhadap kemudahan penjagaan kesihatan dan pendidikan awam.

Liku kehidupan Orang Asli di semenanjung dan kaum peribumi di Sabah dan Sarawak, sekali lagi menjadi perhatian dalam laporan Prof Philip Alston, Pelapor Khas PBB Berhubung Kemiskinan Tegar dan Hak Asasi Manusia.

Pakar akademik tempatan, Prof Denison Jayasooria, mengiringi pasukan PBB dalam lawatan kerja selama 11 hari di seluruh negara termasuk lawatan ke penempatan Orang Asli di Kelantan, Sabah dan Sarawak.

Hak tanah mereka sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan keputusan Mahkamah Persekutuan, kata Jayasooria. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Ogos, 2019.

Mereka mendapati bahawa kerajaan negeri sama ada lalai atau bersikap regresif untuk berkhidmat kepada kaum peribumi di bawah bidang kuasa mereka.

“Anda tidak boleh memindahkan mereka keluar dari hutan ke bangunan konkrit dan membiarkan mereka menjalani gaya kehidupan yang begitu asing buat mereka,” kata Jayasooria kepada The Malaysian Insight.

“Keupayaan mereka untuk hidup berhubung dengan tanah mereka dan anda perlu memberikan hak yang mereka tuntut. Hak tanah mereka sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan keputusan Mahkamah Persekutuan.

“Jika anda boleh memperuntukkan tanah rizab orang Melayu, perkara yang sama boleh dilakukan untuk tanah adat Orang Asli.

“Kemudian anda boleh membina industri pertanian di sekitar perkampungan mereka sambil menaiktaraf akses pendidikan dan kesihatan,” kata felo Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu.

Jayasooria berkata kalangan kerajaan negeri masih meneruskan strategi yang dibentuk era BN walaupun usaha itu sebenarnya gagal.

Katanya strategi itu termasuk memindahkan Orang Asli keluar dari hutan dan memaksa mereka berintegrasi dengan kehidupan moden berasaskan industri.– 26 Ogos, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen