KESATUAN Wartawan Kebangsaan (NUJ) menyambut baik permohonan maaf Pengerusi Kumpulan Utusan Melayu Berhad, Abd. Aziz Sheikh Fadzir kepada rakyat Malaysia atas kesalahan akhbar terbitan syarikat itu sebelum ini.
Permohonan maaf itu wajar memandangkan ramai pembaca dan pengiklan meluat dengan gaya pemberitaan Utusan selama ini, kata presiden NUJ Mohd Taufek Razak.
“Pandangan NUJ, wajar untuk Pengerusi Utusan minta maaf kepada rakyat Malaysia khususnya kepada pembaca Utusan yang selama ini meluat dengan berita diterbitkan Utusan terutamanya sebelum Barisan Nasional jatuh dan selepas,” katanya, merujuk pilihan raya umum yang lalu.
Taufek yang juga wartawan Utusan berkata, Aziz juga patut meminta maaf kepada kakitangan Utusan kerana masih gagal menyelesaikan tunggakan gaji mereka.
“Kita (kakitangan Utusan) masih tunggu bila gaji penuh akan dibayar kerana tunggakan gaji kita adalah selama dua bulan manakala kakitangan eksekutif tiga bulan,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.
Taufek diminta mengulas kenyataan Abd Aziz dalam wawancara dengan Mingguan Malaysia hari ini yang mempertahankan pendirian akhbar terbitan Utusan sebagai suara orang Melayu dan meminta maaf kepada rakyat Malaysia atas kesalahan Utusan dahulu.
Abd Aziz juga meminta rakyat melihat legasi Utusan selama 80 tahun lalu sebagai “insititusi negara yang besar jasanya kepada negara”, yang harus diberi peluang untuk terus berperanan memajukan negara bangsa.
“Maka bantulah kami dengan cara membeli suratkhabar dan melanggan,” katanya.
Utusan yang bermula pada 1939 di Singapura sebagai Utusan Melayu yang terbit dalam Jawi kini terbelit beban hutang dengan bank serta terhutang pula gaji kepada pekerja dan pampasan pemberhentian kepada bekas pekerjanya.
Menurut Taufek, pengurusan Utusan perlu segera mengubah gaya pemberitaannya kerana ia menyumbang kepada kerugian operasi syarikat.
“Laporan diberikan berat sebelah fitnah atau yang memburukkan orang lain. Banyak yang dilaporkan tak benar, buktinya Utusan banyak kali kalah saman fitnah.
“Laporan perlu seimbang dan perlu ada perubahan Jabatan Editorial. Sebahagian besar orang dalam editorial ini orang yang sama jahanamkan Utusan,” jelas beliau lagi
Sementara itu, seorang sumber yang ada kaitan dengan Utusan yang enggan dikenali beranggapan permohonan maaf daripada Aziz hanyalah untuk kesilapan yang beliau lakukan.
Beliau menjelaskan, Aziz sepatutnya mengambil pengajaran daripada kesilapan pengurusan lalu tetapi Aziz sebaliknya sekadar menyambung perkara itu.
“Memang Utusan pernah membuat kesilapan apabila tidak banyak mengetengahkan suara rakyat akar umbi yang pernah menjadi pembaca setia dahulu.
“Namun kesilapan serupa masih diulangi apabila Aziz mengetuai Utusan di mana akhbar itu gagal mengambil pendirian berkecuali dalam hal politik,” jelasnya.
Sumber itu mendakwa Abd Aziz dan barisan pengurusan baharu Utusan masih mengharapkan penjualan akhbar cetak meningkat sedangkan masyarakat usdah beralih kepada akhbar dalam talian.
“Utusan Online mempunyai lebih 2 juta pengikut di Facebook. Platform itu boleh dimanfaatkan dengan menjual iklan sama ada dalam bentuk grafik atau video,” kata sumber yang juga bekas kakitangan Utusan yang menerima skim pemberhentian sukarela (VSS).
Dalam pada itu, pensyarah pengajian media Zaharom Nain pula beranggapan, permohonan maaf Abd Aziz hanya menunjukkan beliau terdesak.
“Sudah berlarutan lama (keadaan Utusan), kenapa baru sekarang mahu minta maaf?
“Usaha untuk terus menjadi akhbar bahasa dan hak Melayu hanya melepaskan batuk di tangga. Ia tidak akan meyakinkan rakyat yang kini beralih ke dunia digital,” tambahnya.
Utusan kini berdepan krisis kewangan terburuk dalam sejarah 80 tahun penubuhannya, terbelit hutang dengan bank serta terhutang pula gaji kepada pekerja dan pampasan pemberhentian kepada bekas pekerjanya.
Dagangan saham syarikat itu akan digantung pada 28 Ogos ini sebelum dinyahsenarai daripada Bursa Malaysia pada 30 Ogos.
Aziz Sheikh Fadzir merupakan pemegang saham terbesar selepas Umno melepaskan 31.6% pegangannya dalam Utusan kepada kepada Opulence Asia Sdn Bhd, syarikat milik penuh Aziz. – 25 Ogos, 2019.
Komen