SEORANG kanak-kanak perempuan yang membonceng motosikal bersama ayahnya di New Delhi meninggal dunia selepas tali layang-layang bersalut kaca mengelar lehernya.
Menurut laporan pada hari Ahad, insiden itu adalah yang kedua dalam masa seminggu.
Layang-layang adalah sukan popular di India, namun ia telah meragut nyawa dalam beberapa tahun kebelakangan ini akibat beberapa individu melayangkan layang-layang menggunakan tali bersalut logam atau kaca untuk menjatuhkan layang-layang pesaing lain.
Jumlah kematian dan kecederaan meningkat sejak Hari Kemerdekaan India pada 15 Ogos apabila orang ramai berhimpun menyaksikan sukan tradisi itu.
Dalam insiden terbaru pada hari Sabtu, kanak-kanak berusia empat tahun itu mengikut bapanya ke sebuah kuil di ibu negara India terkelar hampir separuh lehernya akibat tali layang-layang yang diterbangkan, Times of India melaporkan memetik sumber hospital.
Seorang jurutera berusia 28 tahun juga turut meninggal dunia pada Hari Kemerdekaan apabila tekaknya cedera terkelar tali layang-layang ketika dia menunggang motosikal.
Bulan lalu, seorang kanak-kanak berusia tiga tahun meninggal dunia ketika rentetan tali layang-layang terkelar leher bapa saudaranya ketika membonceng motosikal di selatan Delhi. Mereka melanggar pembahagi dan jatuh dari jambatan. – AFP, 25 Ogos, 2019.
Komen