200,000 adakan perhimpunan 'Hari Pembasmian Kaum' di Bangladesh


Mereka juga turut dilihat mengadakan solat khusus, untuk mendapatkan keberkatan kepada mereka yang telah meninggal dunia. Mereka memasang sepanduk besar yang mendesak Myanmar untuk "bincang dengan kami tentang kewarganegaraan dan etnik Rohingya". – Gambar AFP, 25 Ogos, 2019.

SEKITAR 200,000 orang dari kalangan Rohingya berhimpun di kem pelarian Bangladesh pada hari Ahad menandakan dua tahun selepas melarikan diri dari kekerasan tentera Myanmar.

Perhimpunan itu diadakan hanya selepas dua hari ulang tahun percubaan kedua gagal untuk memulangkan pelarian.

Kira-kira 740,000 orang Rohingya dari Rakhine, Myanmar melarikan diri dari negara itu pada Ogos 2017 ketika serangan kejam, untuk menyertai 200,000 lagi pelarian dari penganiayaan tentera Myanmar sebelumnya.

Hampir satu juta pelarian kini tinggal di tiga belas kem di daerah sempadan tenggara Bangladesh.

Pada hari Ahad, kanak-kanak, wanita berhijab, dan lelaki yang mengenakan kain pelikat menempik “Allah Maha Besar, hidup Rohingya” ketika mereka bergerak di tengah-tengah kem pelarian terbesar di dunia, untuk memperingati apa yang mereka sifatkan sebagai “Hari Pembasmian Kaum”.

Di bawah matahari terik, ribuan orang menyanyikan lagu popular dengan lirik “dunia tidak mendengar kesengsaraan Rohingya”.

“Saya datang ke sini untuk menuntut keadilan pembunuhan dua anak lelaki saya dan saya akan terus tuntut keadilan sehingga nafas terakhir saya,” kata Tayaba Khatun yang berusia 50 tahun sambil air mata mengalir membasahi pipinya.

Myanmar berkata mereka menjalankan operasi anti pemberontakan terhadap pelampau Rohingya selepas mereka didakwa menyerang polis, namun tahun lepas PBB menggesa jeneral Myanmar didakwa di atas kesalahan pembunuhan beramai-ramai.

Pemimpin Rohingya, Mohib Ullah berkata, minoriti itu tidak memiliki kerakyatan dan ingin pulang ke rumah, tetapi hanya setelah mereka diberi kewarganegaraan, dan setelah keselamatan mereka dijamin dan mereka dibenarkan untuk menetap di kampung mereka.

“Kami telah meminta kerajaan Burma untuk berdialog, tetapi kami tidak mendapat sebarang maklum balas daripada mereka,” kata Ullah pada perhimpunan tersebut.

“Kami dipukul, dibunuh dan diperkosa di Rakhine, tetapi di sana ia tetap rumah kami dan kami mahu pulang.”

Pelajar muda Rohingya dari sekolah-sekolah yang ditubuhkan oleh agensi-agensi bantuan turut mengibarkan bendera-bendera hitam dan meneriakkan slogan, “Ya untuk Rohingya, kami bukan Bengali,” merujuk kepada istilah Myanmar yang digunakan bagi merujuk kumpulan etnik itu.

Mereka juga turut dilihat mengadakan solat khusus, untuk mendapatkan keberkatan kepada mereka yang telah meninggal dunia. Mereka memasang sepanduk besar yang mendesak Myanmar untuk “bincang dengan kami tentang kewarganegaraan dan etnik Rohingya”. – AFP, 25 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen