SEORANG lelaki Islam meninggal dunia selepas dibiarkan koma dalam sebuah pusat tahanan di Thailand hari ini.
Kejadian itu menyebabkan masyarakat Islam Thailand memberi tekanan kepada pihak tentera untuk menyiasat kes itu.
Abdulloh Esormusor, suspek pemberontak di selatan Thailand, meninggal dunia awal pagi hari ini selepas lebih sebulan dia ditahan di kem tentera Inkayuth.
Pihak tentera tidak dapat dihubungi untuk memberi komen tentang kes itu tetapi Abdulloh disyaki mengalami pendarahan di bahagian otak sama ada akibat kekurangan oksigen atau bengkak.
Inkayuth merupakan pusat tahanan tentera terbesar di selatan negara itu dengan kebanyakan suspek militan disiasat dan ditahan mengikut undang-undang darurat.
Namun kumpulan hak asasi manusia mendakwa pusat tahanan itu dijadikan lokasi penderaan suspek militan.
Kes kematian Abdulloh merupakan ujian untuk kerajaan Thailand sama ada mereka akan menjalankan siasatan secara adil dan telus.
Keluarga Abdulloh mendakwa lelaki berusia 34 tahun itu tidak terlibat dalam serangan berdarah di selatan Thailand untuk mendapatkan hak autonomi.
Pakar politik kini bimbang kematian Abdulloh mungkin akan mencetuskan gelombang keganasan baharu jika siasatan berhubung kematiannya tidak dijalankan dengan telus. – AFP, 25 Ogos, 2019.
Komen