Bekerjasama dengan AS, penulis Iran dipenjara 11 tahun


Selaras dengan undang-undang Iran, Marzban dijatuhkan hukuman 11 tahun penjara kerana disabitkan kesalahan bekerjasama dengan negara musuh - jika gagal dalam rayuannya. – Gambar Facebook, 25 Ogos, 2019.

MAHKAMAH Iran menjatuhkan hukuman penjara ke atas penulis satira Iran Kioomars Marzban selama 11 tahun selepas beberapa pertuduhan disabitkan ke atasnya termasuk bekerjasama dengan Amerika Syarikat (AS)

Agensi berita rasmi IRNA berkata Marzban “bekerjasama” dengan radio Farda dan Manoto - penyiar yang berpangkalan di luar negara dan diharamkan di Iran.

Marzban menghadapi pertuduhan “berhimpun dan mengadakan hubungan dalam mengancam keselamatan negara, di samping bekerjasama dengan negara musuh, dan menyebarkan propaganda terhadap sistem selain menghina pihak berkuasa”, kata IRNA memetik peguam Marzban.

Mahkamah membersihkan beliau daripada pertuduhan berhimpun dan mengadakan hubungan dengan pihak musuh namun mendapati dia bersalah atas empat tuduhan lain, kata peguam Mohammad Hossein Aghasi.

Selaras dengan undang-undang Iran, Marzban dijatuhkan hukuman 11 tahun penjara kerana disabitkan kesalahan bekerjasama dengan negara musuh - jika gagal dalam rayuannya.

“Kami pasti akan merayu keputusan ini kerana kami percaya bahawa tidak ada hubungan antara klien kami dengan kerajaan Amerika,” kata Aghasi.

IRNA mengatakan bahawa menurut beberapa hantaran di media sosial, Marzban telah meninggalkan Iran pada tahun 2009 dan kembali lapan tahun kemudian sebelum ditangkap pada 26 Ogos 2018. – AFP, 25 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen