Berita baik berhubung anak Indira Gandhi bulan depan, kata Ingat


Alfian Z.M. Tahir

Indira terpisah daripada anaknya lebih sedekad lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Ogos, 2019.

M Indira Gandhi bakal menerima berita gembira pada bulan hadapan mengenai kedudukan keberadaan anaknya Prasana Diksa yang lama hilang selepas dilarikan bekas suaminya, kata kumpulan aktivis hari ini.

Pasukan Tindakan Indira Gandhi (Ingat) memberitahu The Malaysian Insight bahawa mereka sedang di fasa akhir bagi menentukan di mana keberadaan Prasana Diksa yang diculik bekas suami Indira lebih sedekad lalu.

“Kami sudah dekat dalam pencarian Prasana Diksa dan kami akan dapat berita baik pada bulan September,” kata Pengerusi INGAT tanpa menjelaskan butiran penuh. 

Arun turut berkata bahawa mereka kini sedang menunggu pertemuan yang dijadualkan bersama Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador.

“Kami sedang menunggu untuk bertemu dengan IGP untuk membincangkan langkah seterusnya apabila Prasana ditemui.

“Ini sahaja yang kami boleh dedahkan, tetapi apa yang ada semuanya berita positif, semoga kita dapat selesaikan,” katanya ketika ditemui.

Prasana diculik oleh ayahnya, Muhammad Riduan Abdullah yang tidak mengendahkan perintah mahkamah untuk mengembalikan anak sulungnya kepada Indira.

Riduan pada tahun 2014 telah diarahkan oleh Mahkamah Tinggi Ipoh untuk mengembalikan Prasana tetapi gagal berbuat demikian, mengakibatkan perintah mandamus dikeluarkan oleh mahkamah dan membolehkan Ketua Polis Negara menahannya.

Pada bulan Januari tahun lepas, Mahkamah Persekutuan membatalkan penukaran pengislaman anak-anak Indira oleh bekas suaminya, dan turut mengisytiharkan penukaran agama secara unilateral anak-anaknya mengikut salah seorang daripada ibu bapa sebagai menyalahi undang-undang.

Bercakap lebih lanjut, Arun berkata Ingat akan pergi ke Johor minggu depan untuk mengadakan kempen mengenai isu itu.

Beliau menjelaskan bahawa mereka perlu membatalkan kempen mereka di Kuala Lumpur pada hari Sabtu kerana polis memberi amaran untuk tidak meneruskannya.

“Kami terpaksa membatalkan program kempen kami kerana Brickfields disekat (pada hari Sabtu), jadi kami beralih ke Johor minggu depan dan Pulau Pinang seminggu selepasnya.”

“Kami akan kembali ke KL selepas kempen di kedua-dua negeri itu,” katanya.

Polis telah mengarahkan sekatan masuk ke Brickfields semalam berikutan rancangan untuk mengadakan perhimpunan bantahan terhadap pendakwah kontroversi Zakir Naik. Pihak penganjur bersetuju untuk mematuhi arahan polis untuk menangguhkan perhimpunan mereka.

Sebelum ini, Arun mendakwa bahawa Riduan dibantu oleh PAS dan kumpulan pemisah Thailand namun parti Islam itu menafikan dakwaan tersebut.

Arun juga turut mengumumkan ganjaran RM10,000 untuk sesiapa yang mempunyai maklumat yang membawa kepada penangkapan Riduan.

Ingat dibentuk oleh Sangam Hindu Malaysia dan organisasi Hindu lain untuk membantu Indira mencari anaknya. – 25 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen