Jangan melatah isu 15% miskin tegar


Zainal Rashid Ahmad

BAGI aktivis kemanusiaan, pendedahan Ketua Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Berhubung Kemiskinan Tegar dan Hak Asasi Manusia, Prof Philip Alston kelmarin bukan satu kejutan.

Prof Alston mendedahkan, kadar kemiskinan tegar di Malaysia berada pada paras 15% dan jauh tinggi daripada angka sebenar yang didedahkan kerajaan.

Data kerajaan mengenai kemiskinan tegar 2016 ialah 0.4%. Angka yang merujuk pada kiraan standard antarabangsa berdasarkan edisi kedua Canberra Group Handbook on Household Income Statistics (2011) yang juga diterbitkan PBB.

“Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali tidak perlu melatah dan terburu-buru menolak fakta Prof Alston sebagai fakta yang mengecewakan dan tidak bertanggungjawab,” kata Fadiah Nadwa Fikri, aktivis Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4)

Menurutnya, ada relevan dalam keadaan ekonomi semasa, kerajaan perlu melihat fakta baharu sebagai dapatan yang wajar dinilai dan dijadikan kajian realistik.

“Hari ini rakyat melakukan lebih daripada satu kerja untuk memperolehi pendapatan asas RM2 ribu sebulan,” kata Fadiah.

Malah, sikap drastik menolak kajian Prof Alston, hanya mengulangi sikap kerajaan Barisan Nasional (BN) terhadap isu laporan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan PBB (Unicef) pada Februari 2018.

Fadiah memberikan komen ketika menjadi panel Program Bumi Manusia, anjuran NGO Gerak Malaysia di Universiti Malaya semalam.

Tiga bulan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Unicef melaporkan, berdasarkan kajian di 17 projek perumahan rakyat (PPR) di sekitar Kuala Lumpur, terdapat 30% kanak-kanak mengalami masalah kekurangan nutrisi.

Pendedahan Unicef dikritik kerajaan BM sebagai bermotif politik menjelang PRU14.

Malah, dianggap sebagai bahan kempen untuk menjatuhkan BN.

Unicef dalam laporannya, menjelaskan masalah kemiskinan bandar antara punca utama masalah kekurangan zat makanan di kalangan kanak-kanak di kawasan kajiannya.

Lebih detils, Unicef menyebut, 10% kanak-kanak PPR tidak mampu mendapat akses makanan tiga hidangan sehari.

Kelmarin, Azmin melahirkan rasa kecewa dan berkata Malaysia tetap dengan pendirian bahawa kadar kemiskinan tegar hanya sekitar 0.4% atau bersamaan 24,700 isi rumah mengikut data 2016.

“Kadar kemiskinan ini dikira mengikut standard yang diterima antarabangsa berdasarkan kepada edisi kedua Canberra Group Handbook on Household Income Statistics (2011) yang diterbitkan oleh PBB,” katanya.

Malah, Azmin menyifatkan, kesimpulan Prof Alston mengandungi “kecacatan statistik yang membawa akibat buruk”, tidak boleh diterima dan tidak bertanggungjawab.

Bagi Setiausaha Laskar4Life, Aniza Mehboob Shah, pendedahan pasukan Alston bukan satu kejutan. Malah, ada relevannya.

Sebagai aktivis bantuan kemanusiaan, Aniza melihat fenomena luar biasa kesan meningkatnya kos sara hidup terhadap isi rumah miskin bandar.

“Sejak tiga tahun lalu, 60% penerima bantuan makanan di jalanan ialah penghuni PPR. Ini satu kejutan kerana sejak 2013 hingga 2015, 100% penerima bantuan makanan ialah gelandangan dan pekerja seks di sekitar Kuala Lumpur,” katanya.

Menurut Aniza, kini antara 300 hingga 500 penerima bantuan makanan yang berhimpun di Dataran Amal Chow Kit ialah kanak-kanak PPR.

“Bagi kami, kehadiran mendadak kanak-kanak dan warga PPR untuk mendapatkan bantuan makanan satu kejutan yang menakutkan,” katanya.

Pada sidang media semalam, Prof Alston mendedahkan, Malaysia mempunyai “kemiskinan yang ketara”, dan kadar kemiskinan sebenar ialah 15%.

Azmin pula segera menjawab dengan nada kurang senang dan menyifatkan laporan pasukan Alston sebagai mengecewakan.

“Menurut Garis Pendapatan Kemiskinan (PLI) yang digunakan bagi merumuskan tahap kemiskinan negara, ketika ini diletakkan pada tahap RM980 di peringkat nasional, dan ia dikira berdasarkan kepada keperluan asas bagi isi rumah untuk hidup dengan sihat dan aktif, yakni lebih besar daripada PLI yang disasar dalam Matlamat Pembangunan Mampan 1 pada AS$1.25 bagi tiap sehari,” kata Azmin.

Aniza yang menjalankan projek makanan jalanan di sekitar Chow Kit sejak 2011 menyifatkan, kerangka angka pendapatan yang digariskan oleh Canberra Group Handbook on Household Income Statistics sebagai “panduan ketinggalan realiti”.

“Pendapatan RM980 untuk warga bandaraya terutama KL, Ipoh dan Johor Bahru langsung tidak relevan sungguh pun diukur dengan petunjuk Canberra. Kita yang waras akan berkata, dengan pendapatan RM1500 pun, isi rumah tetap miskin tegar kalau dirujuk pada kos sara hidup di bandaraya,” kata Aniza.

Merujuk pada laporan Unicef Februari tahun lalu, wujud realiti yang kritikal dalam soal akses makanan bagi kanak-kanak PPR. Satu indikasi jelas betapa kritikal kualiti hidup melibatkan isi rumah miskin bandar.

Berdasarkan kajian itu juga, kemiskinan bandar punca utama masalah kekurangan zat makanan di kalangan 30% kanak-kanak PPR. Malah, 10% gagal menikmati makanan tiga hidangan sehari.

Unicef mendedahkan, kekurangan makanan faktor utama menyebabkan kes kemerosotan berat badan, pembesaran terbantut dan kanak-kanak PPR bertubuh kurus kering.

Selain itu, 15% kanak-kanak PPR bawah umur lima tahun mengalami masalah kurang berat badan. Manakala 22% mengalami masalah tumbesaran terbantut.

Justeru, tidak perlulah Azmin terlalu terkejut. Langkah seterusnya ialah meneliti laporan Prof Alston. Sekali gus tidak terlalu taasub pada dokumen Canberra Group Handbook on Household Income Statistics.

Malah, Azmin boleh merujuk pada laporan terbaru Khazanah, The State of Households 2018 – Different Realities.

Laporan itu jelas menyebut, wujud realiti statistik mengenai jurang pendapatan antara kumpulan pendapatan dan bilangan penduduk miskin semakin meningkat.

Malah, walaupun angka statistik semakin baik, hakikatnya setiap tahun wujud pertambahan rakyat miskin.

Laporan Khazanah turut menyebut, berdasarkan statistik, tidak hairanlah rakyat terus mengeluh mengenai kos sara hidup yang tinggi walaupun kadar kemiskinan semakin rendah tahun demi tahun. – 25 Ogos, 2019.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen