KETUA satu laman web berita Mexico ditemui mati ditikam di ibu negara, kata pihak berkuasa pada Sabtu, sekali gus menjadikan ia pembunuhan ke-10 tahun ini.
Mayat Nevith Condes Jaramillo “ditemui pagi Sabtu ... menunjukkan kecederaan akibat objek tajam,” kata pendakwa negeri dalam satu kenyataan.
Siasatan dilancarkan untuk menentukan apa sebenarnya yang berlaku.
Condes Jaramillo, 42, adalah ketua laman berita tempatan di Tejupilco dan juga juruhebah di stesen radio komuniti.
Pemantau media Reporters Without Borders (RSF) berkata, menurut ahli keluarga, Condes Jaramillo menerima ancaman pada Jun dan November tahun lepas, dan mendorongnya meminta langkah perlindungan persekutuan.
Bagaimanapun mereka berkata beliau enggan mematuhi proses perlindungan kerana masalah birokrasi, menurut RSF.
RSF yang meletakkan Mexico setanding dengan negeri berperang di Syria dan Afghanistan sebagai negara paling berbahaya di dunia untuk media, berkata sembilan wartawan dibunuh di Mexico tahun ini.
Sejak 2000, sekitar 100 wartawan dibunuh di Mexico susulan keganasan yang dikaitkan dengan pengedaran dadah dan rasuah politik serta banyak kes pembunuhan terlepas daripada hukuman. – AFP, 25 Ogos, 2019.
Komen