PERDANA Menteri Britain, Boris Johnson pada Sabtu mengatakan syarikat gergasi digital Amerika Syarikat (AS) perlu dikenakan cukai secara “adil dan sewajarnya” dalam pertikaian yang semakin meningkat dengan AS berhubung cukai seperti Amazon, Apple, Facebook dan Google.
Perancis terjebak pertikaian dengan AS selepas Parlimen bersetuju mengenakan cukai jualan baru yang memaksa gergasi digital membayarnya walaupun ibu pejabat mereka tidak berada di negara itu.
Kerajaan British kini merancang satu langkah yang sama, ketika ia juga berharap untuk membina hubungannya dengan Washington menjelang tindakan keluar daripada Kesatuan Eropah.
“Secara terus terang, kita mesti melakukan sesuatu untuk mengenakan cukai dengan adil dan sewajarnya bagi perniagaan dalam talian yang mempunyai jualan begitu besar di negara kita,” kata Johnson menjelang rundingan dengan Presiden AS Donald Trump pada Sabtu.
“Saya terbuka untuk perbincangan tentang bagaimana kita melakukannya dan bersedia mendengar rakan Amerika mengenai modaliti, tetapi kita mesti melakukan sesuatu untuk mengenakan cukai dengan adil,” katanya.
Kerajaan British pada Julai berkata ia merancang memperkenalkan cukai jualan sebanyak 2.0% kepada gergasi digital bermula April tahun depan. – AFP, 25 Ogos, 2019.
Komen