DI celah ibu kota, ada satu ruang kecil di sebuah bangunan lama menempatkan hampir 1,000 buku langka daripada pelbagai jenis karya.
Tintabudi yang mula dibuka Julai 2016 membentuk pengikut tersendiri yang meminati buku falsafah, sejarah, puisi dan sastera.
Pengasasnya, Abdul Nazir Harith Fadzilah, 31, berkata kedainya menjadi satu hab yang mengumpul dan menjual buku yang sukar diperolehi.
“Ia bukan saja menjual satu komoditi atau satu bahan perniagaan tapi ia juga menyumbang kepada masyarakat sekeliling.
“Di kedai buku ini ada beberapa bahagian falsafah, sejarah, ekonomi seni agama dan di sebelah sana banyak buku puisi, novel dan sastera.
“Ada usia buku sejarah berusia puluhan tahun. Mungkin market pembacanya kecil tetapi pembaca buku ini ada dalam Malaysia.
“Alhamdulillah kelompok itu semakin membesar,” katanya dalam satu temubual Inspirasiku bersama The Malaysian Insight.
Antara buku lama yang dicari di kedai ini adalah “The Mysticism of Hamzah Fansuri” karya pemikir ulung Syed Muhammad Naguib Al-Attas yang diterbitkan Universiti Malaya pada 1970.
Permintaan tinggi terhadap karya langka sebegini membolehkan buku itu terjual dengan harga RM2,800 baru-baru ini.
Buku falsafah luar negara seperti “The Idea of a University” tulisan John Henry Newman dan “The Voices of Silence” karya Andre Malraux juga dijual dengan harga tinggi mencecah ratusan ringgit.
Anak kelahiran Batu Gajah, Perak itu berkata kedai bukunya masih dapat bertahan meskipun beroperasi di Kuala Lumpur.

“Dengan hasil jualan di kedai dan atas talian, kita dapat tanggung kos operasi setiap bulan. Tintabudi lebih ramai dikunjungi pada hujung minggu.
“Kadang-kadang hari cuti awam pun kita buka,” katanya lagi.
Nazir berharap operasi Tintabudi akan berterusan selain akan memperbanyakkan koleksi buku-buku langka yang sukar didapati.
“Kami harap boleh menyediakan perkhidmatan kami kepada lebih ramai orang dan supaya ramai lagi dapat tahu sebab saya rasa market yang saya sentuh ini sangat sedikit.
“Kami cuba kena lpasti mereka ini. Kami memang nak perbanyakkan buku-buku subjek kemanusiaan. Ia kurang di kedai buku yang popular,” katanya lagi.
Tambahnya dengan membaca, masyarakat akan lebih berfikiran terbuka dan berfikiran kritis.
“Membaca itu sebenarnya mencabar diri kita untuk membaca perkara yang sukar. Kalau tidak tiada apa kita dapat daripada pembacaan tersebut.
“Memang susah, tetapi cuba baca dan dalam masa pembacaan itu akan ada proses untuk belajar,” katanya lagi. – 25 Ogos, 2019.
Komen