RATUSAN kebakaran baru dikesan di hutan hujan Amazon di utara Brazil ketika Presiden Jair Bolsonaro berdepan tekanan antarabangsa untuk menangani krisis terburuk itu.
Kebakaran di hutan hujan terbesar di dunia itu mendapat perhatian seluruh dunia dan menjadi topik perbincangan utama dalam sidang kemuncak G7 di Biarritz, selatan Perancis.
Data rasmi menunjukkan 78,383 kebakaran hutan dikesan di Brazil pada tahun ini, jumlah yang lebih tinggi sejak 2013.
Pakar berkata pembersihan tanah tanaman pada musim kemarau menyebabkan kebakaran berlaku dengan lebih cepat.
Lebih separuh kebakaran berlaku di Amazon dengan 1,663 kejadian baharu dicatatkan antara Khamis dan Jumaat.
Data baharu itu dikeluarkan sehari selepas Bolsonaro mengerahkan tentera untuk menangani krisis itu dan membanteras aktiviti jenayah di kawasan tersebut.
Awal minggu ini, Bolsonaro menyalahkan pertubuhan bukan kerajaan yang memulakan kebakaran itu sebagai tanda protes kerana peruntukan kepada mereka dipotong. – AFP, 24 Ogos, 2019.
Komen