Plastik terbuang jadi duit


Zaim Ibrahim

Antara barangan yang dihasilkan oleh Asni Othman daripada kertas dan straw terpakai. – Gambar The Malaysian Insight, 25 Ogos, 2019

ASNI Othman pada mulanya menganyam bahan-bahan kitar semula daripada kertas surat khabar untuk dijadikan barang perhiasan di rumahnya sebagai hobi.

Kini, ibu kepada tiga orang anak ini dapat berpuas hati kerana aktiviti menganyam bahan-bahan kitar semula kini menjadi karier yang berbaloi.

Daripada kertas akhbar lama, beliau menghasilkan pelbagai produk seperti bakul, pasu bunga, dan bekas pen.

Setiap barangan itu pula dapat dijual dari harga RM10 hingga RM200, bergantung kepada saiz dan reka bentuk produk tersebut.

Beliau mendapat latihan tiga tahun lalu melalui Program Upcycle anjuran bawah Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

Selepas mengikut program itu, beliau mendapat banyak permintaan terutama untuk majlis jabatan kerajaan dan perhiasan kenduri perkahwinan.

“Saya juga menjadi tenaga pengajar untuk mengajar orang ramai teknik anyaman,” kata beliau ketika ditemui The Malaysian Insight di kediamannya, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Ia membuatkan beliau yakin untuk berhenti kerja di sebuah kedai peralatan memancing setahun kemudian untuk memfokuskan kepada perusahaan kraf ini.

“Tiada sesiapa paksa saya untuk berhenti (bekerja), tetapi saya yakin dengan apa yang saya buat. Tambah-tambah lagi, saya rasa seronok. Memang ini minat saya.”

Gubahan bunga daripada plastik terpakai yang direka oleh  Koperasi Lestari Alam Sekitar. – Gambar The Malaysian Insight, 25 Ogos, 2019

Terbaru, beliau menambah produk baharu iaitu beg daripada penyedut minuman plastik dengan harga mencecah RM120.

“Penyedut minuman diambil di sebuah kedai, mereka mahu buang. Daripada dibuang, saya ambil beli dengan harga murah. Kemudian saya basuh, dan anyam untuk hasilkan beg,” jelasnya.

Walaupun pendapatan untuk sebulan tidak menentu, tetapi masih boleh menanggung keluarganya.

“Contohnya, baru-baru ini dapat permintaan bernilai RM23,000. Keuntungan saya dapat RM17,000.

“Tapi kadang-kadang sebulan boleh dapat RM8,000, kadang-kadang RM200 hingga RM300 sahaja. Kita kena pandailah uruskan kewangan.

“Modal kita memang tidak banyak, tetapi masa dan tenaga banyak digunakan,” jelas beliau.

Program Upcycle itu diusahakan MPSP untuk mendidik orang ramai supaya tidak membuang bahan-bahan yang boleh dikitar semula terutama sekali plastik.

Yang Dipertua MPSP,  Rozali Mahamud berkata pengguna juga tidak sedar bahawa bukan semua sisa-sisa plastik boleh dikitar semula.

Tambah beliau, plastik yang tebal dan dengan kandungan warna yang tinggi tidak boleh dikitar semula seperti kain rentang atau kotak minuman berwarna.

“Kain rentang apabila diturunkan akhirnya akan pergi ke tapak pelupusan sampah,” katanya.

Sebab itulah juga MPSP berubah untuk menggunakan media iklan digital untuk kurangkan karbon dan kurangkan penggunaan bahan plastik, katanya kepada The Malaysian Insight.

Program itu dilancarkan sejak 2010 dan melibatkan lapan buah kawasan di seluruh Seberang Perai seperti di Permatang Nibong, Tanah Liat, dan Padang Lalang.

YDP MPSP, Rozali Mahamud menunjukkan produk

Bahan plastik yang tidak boleh dikitar semula pula bolah dihantar ke pusat pengumpulan kitar semula di Permatang Nibong, Padang Lalang dan Kepala Gajah, katanya.

“Bagi bahan-bahan yang boleh dikitar semula, kita kutip dan jual (kepada kilang). Tetapi melalui Program Upcycle, kita pungut dan hasilkan produk baharu.

Menerusi program itu, mereka membantu penduduk yang membuat anyaman daripada bahan terbuang itu dari segi pemasaran.

“Sebab itu kami wujudkan pembangunan ekonomi setempat supaya golongan B40 boleh mencari sumber perniagaan.

Dengan itu juga ia dapat membantu meningkatkan pendapatan masyarakat di luar bandar dan mengelakkan pembuangan sampah.

“Pihak penguatkuasa tidak boleh kawal semua, masyarakat perlu kawal diri sendiri dan sedar, ada bahan kitar semula yang boleh dijual (sebagai perniagaan),” jelasnya lagi.

Di Permatang Nibong, Permatang Pauh, sebuah koperasi ditubuhkan untuk memasarkan produk daripada plastik yang tidak boleh dikitar semula.

Koperasi Lestari Alam Sekitar, ditubuhkan pada 2014 selepas penduduk kampung di situ menyertai bengkel anyaman dan mencipta produk daripada bahan-bahan alam sekitar.

Koperasi itu mempunyai 59 orang ahli, namun hanya lima orang terdiri daripada golongan wanita yang aktif dalam program tersebut.

Antara barangan yang dihasilkan ialah beg tangan, barangan perhiasan perkahwinan dan gubahan bunga.

Pusat Pengumpulan Barangan Kitar Semula di Permatang Nibong, Permatang Pauh. – Gambar The Malaysian Insight, 25 Ogos, 2019

Salah seorang ahlinya, Suria Abu Bakar, 51, walaupun pendapatan yang diraih daripada program ini tidak tetap tetapi sekurang-kurangnya membantu penduduk kampung menambah kemahiran baharu.

“Sekurang-kurangnya, kami dapat pengetahuan, boleh buat kegunaan sendiri. Daripada duduk rumah kami jaga anak dan masak sahaja, kami ada kemahiran lain untuk tambah pendapatan.

“Walaupun bukan (pendapatan tetap), bolehlah himpun duit sekali untuk musim raya atau kegunaan sendiri,” jelasnya.

Menurut beliau, pihaknya sering mendapat permintaan daripada MPSP dan beberapa agensi kerajaan tetapi ia adalah bermusim.

Beliau mengakui koperasi itu sukar menjual produk mereka kerana tiada seorang ahli pun yang mempunyai kepakaran dalam strategi pemasaran.

Malah, walaupun pihaknya cuba menghasilkan pelbagai barangan yang menarik, tetapi apabila dijual di majlis-majlis tertentu, sukar untuk mendapat sambutan.

“Saya memang harapkan ada pihak yang bantu kami dalam aspek pemasaran. Kami tidak akan tolak, kami sangat alu-alukan.

“Kami mahu koperasi ini maju, kelengkapan peralatan, bahan-bahan plastik semua sudah ada, kami hanya perlu jual. Jika ada permintaan, kami sanggup bekerja keras,” katanya. – 25 Ogos, 2019.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen