POLIS Bangladesh menembak mati dua pelarian Rohingya dalam satu kejadian tembak-menembak di sebuah kem pelarian di negara itu hari ini.
Kedua-dua pelarian itu disyaki disyaki membunuh seorang pegawai kerajaan, kata polis.
Aktivis hak asasi yang enggan dikenali berkata kedua-dua pelarian itu dibunuh polis dalam kejadian yang dipercayai dirancang.
Insiden itu berlaku selepas dua hari kerajaan Bangladesh gagal menghantar pulang pelarian Rohingya ke Myanmar.
Hampir sejuta pelarian Rohingya tinggal di kem pelarian di tenggara Bangladesh selepas mereka melarikan diri daripada ditindas tentera Myanmar pada 2017.
“Kedua-dua lelaki itu meninggal dunia ketika dikejarkan ke hospital,” kata polis tempatan Rasel Ahmad.
Katanya kejadian itu berlaku di kem Jadimura yang terletak di daerah Cox’s Bazar.
Ahmad berkata dua lelaki Rohingya itu mengalami kecederaan kritikal akibat ditembak ketika polis melancarkan operasi memburu suspek pembunuh pegawai kerajaan Omar Faruk.
Omar ditembak mati di bahagian kepala pada Khamis lalu di sebuah penempatan dekat sempadan pekan Teknaf.
Kematiannya itu mengundang kemarahan penduduk tempatan yang bertindak menutup lebuh raya utama yang menghala ke kem pelarian.
Mereka turut membakar tayar dan merosakkan kedai yang dikunjungi pelarian. – AFP, 24 Ogos, 2019.
Komen