Selesai dulu tuntutan lama, kata kumpulan nelayan Pulau Pinang


Zaim Ibrahim

Ketua Nelayan Pulau Pinang Nazri Ahmad berkata perairan Pulau Pinang kian tercemar tetapi kerajaan negeri masih berdiam diri daripada melakukan sebarang tindakan. – Gambar The Malaysian Insight, 24 Ogos, 2019.

Kerajaan negeri perlu menyelesaikan terlebih dahulu tuntutan pampasan ke atas tambakan laut terdahulu sebelum merancang projek baharu, kata Ketua Nelayan Pulau Pinang Nazri Ahmad.

Jelasnya, kehidupan nelayan kini terjejas teruk akibat projek terdahulu lebih-lebih lagi terdapat tuntutan nelayan yang masih belum dipenuhi.

Beliau turut berkata, perairan Pulau Pinang kian tercemar tetapi kerajaan negeri masih berdiam diri daripada melakukan sebarang tindakan.

“Kita menyeru kerajaan Pulau Pinang selesaikan masalah nelayan daripada semua projek tambakan yang pernah dijalankan daripada sibuk buat projek baru.

“Selesailah masalah di Tanjung Tokong, selesailah masalah di Butterworth, selesailah masalah di Jelutong dan selesailah masalah di Queensbay,” kata dalam ucapan semasa perhimpunan 200 orang nelayan itu hari ini.

Tambah Nazri, kerajaan negeri perlu memulihkan keadaan laut yang tercemar disebabkan oleh pelbagai projek tambakan laut berkenaan.
 
Perhimpunan di Padang Polo, Georgetown itu dihadiri hampir 200 nelayan dan juga wakil NGO bagi membantah projek tiga pulau buatan di bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PIP).

Turut serta dalam perhimpunan itu adalah beberapa persatuan nelayan daripada Kedah dan juga Perlis turut berkumpul walaupun dalam keadaan hujan.

Mereka melaungkan slogan “Tolak Tambak!” sambil membawa kain rentang membantah pembinaan tiga pulau buatan dalam projek itu.

Selain tiga pulau buatan berkeluasan 2,600 hektar, PIP juga melibatkan pembinaan terowong dasar laut menghubungkan pulau berkenaan dengan tanah besar.

Bantahan Persatuan Nelayan Pulau Pinang itu telahpun dikemukakan dalam satu memorandum kepada Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Abdul Rahman Abbas.

Ia antara lain menuntut bayaran tunggakan pampasan daripada Jalan Lingkaran Luar Butterworth atau BORR (2003–2006) dan projek Seri Tanjung Pinang 2 (STP2).

Turut ditemui dalam perhimpunan itu adalah Setiausaha Agung Unit Nelayan Teluk Air Tawar, Mazlan Othman yang menegaskan ikrar tidak akan berputus asa dalam menyatakan tuntutan.

“Apa-apa pun kena lawan dulu, lawan juga sampai habis-habisan. Macam mana pun, kita kena pastikan kita menang,” jelasnya.

Seorang anggota Unit Nelayan Butterworth, Muhammad Fauzi Mat Noor juga menegaskan ikrar sama kerana nelayannya kini semakin sukar mencari ikan akibat tambakan di Tanjung Tokong.

“Daripada projek itu, mereka buang selut, korek pasir sedangkan itu kawasan kami cari makan. Dulu boleh dapat RM500 hingga RM600 (sebulan), tapi sekarang dalam RM100 sahaja.

“Kami akan terus bantah. Kita akan pakat ramai-ramai dengan persatuan lain, kalau projek ini tetap diteruskan macam mana kami nak cari makan?” tambahnya. – 24 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen