KEDUTAAN China di Ottawa pada Jumaat menggesa Kanada dan Amerika Syarikat agar membebaskan Meng Wanzhou, ketua pegawai kewangan syarikat teknologi Huawei, tanpa penangguhan lanjut serta memastikan beliau selamat pulang ke China, lapor agensi berita Xinhua.
“Insiden Meng Wanzhou bukan sekadar satu kes kehakiman, sebaliknya AS menggunakan kuasa negara untuk bekerjasama dengan sekutu tertentu untuk menekan perusahaan berteknologi tinggi swasta China dengan pertuduhan yang tidak wajar. Ini adalah tingkah laku buli yang biasa,” kata seorang jurucakap kedutaan itu.
Jurucakap itu berkata penahanan dua rakyat Kanada—Michael Kovrig dan Michael Spavor—oleh pihak berkuasa China adalah “berbeza” daripada kes Meng, memandangkan kedua-dua rakyat Kanada itu telah ditahan berdasarkan undang-undang kerana disyaki melakukan jenayah yang boleh mendatangkan bahaya kepada keselamatan negara China.”
“China adalah sebuah negara yang mendukung kedaulatan undang-undang. Pihak berkuasa kehakimannya mengendali kes secara bebas berdasarkan undang-undang,” kata jurucakap itu sambil menambah bahawa “semua negara harus menghormati kedaulatan undang-undang China dan bukan secara sembarangan mengkritik China berkaitan isu berkaitan yang tergolong dalam kedaulatan undang-undangnya.
Meng telah ditahan pada 1 Disember 2018 di Lapangan Terbang Antarabangsa Vancouver atas permintaan Amerika Syarikat yang ingin mengekstradisi beliau atas pertuduhan melakukan penipuan.
Meng mahupun Huawei telah beberapa kali menafikan sebarang salah laku. – Bernama, 24 Ogos, 2019.
Komen