KOREA Utara melancarkan apa yang disyaki sebagai dua peluru berpandu balistik jarak dekat ke arah Laut Timur pada Sabtu, menyebabkan ketegangan semakin memuncak meskipun selepas latihan ketenteraan bersama antara Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS) telah berakhir, lapor agensi berita Yonhap.
Peluru berpandu itu dilancarkan pada pukul 6.45 pagi dan 7.02 pagi dari timur pekan Sondok di Wilayah Hamgyong Selatan ke arah Laut Timur, dan kedua-duanya terbang kira-kira sejauh 380 kilometer pada ketinggian maksimum 97 kilometer serta kelajuan maksimum kira-kira 6.5 Mach, menurut Ketua Turus Bersama Korea Selatan (JCS).
“Pihak tentera kami kini memantau situasi ini kalau-kalau terdapat pelancaran tambahan dan mengekalkan kesiapsiagaan,” kata JCS dalam satu siaran berita sambil menambah pihak berkuasa risikan Korea Selatan dan AS sedang menganalisis jenis peluru berpandu terbabit.
Pelancaran pada Sabtu merupakan yang ketujuh seumpamanya sejak 25 Julai selepas Korea Utara yang mendiamkan diri selama 17 bulan sebelum ini mula melancarkan peluru berpandu untuk menguji senjata baharu serta sebagai membantah latihan ketenteraan bersama Korea Selatan-AS yang disifatkannya sebagai satu latihan untuk melakukan pencerobohan.
Latihan itu telah ditamatkan pada awal miggu ini, yang memberikan harapan bahawa Korea Utara akan berhenti melancarkan peluru berpandu dan menyambung semula rundingan berkaitan pembasmian senjata nuklear antara Washington dan Pyongyang.
Kali terakhir pelancaran peluru berpandu adalah kira-kira seminggu lalu iaitu pada 16 Ogos. Korea Utara dipercayai menggunakan kesemua pelancaran ini bagi menguji peluru berpandu jarak dekat baharunya, termasuk versu Iskander dan Sistem Peluru Berpandu Taktikal Tentera AS (ATACMS). – Bernama, 24 Ogos, 2019.
Komen