POLIS didesak membuka semula siasatan terhadap bekas Timbalan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Hishamuddin Hashim dalam kes melibatkan kematian Teoh Beng Hock, kata kumpulan aktivis hari ini, lapor Free Malaysia Today.
Teoh Beng Hock Trust for Democracy berkata pihak polis mesti mengambil semula sampel DNA daripada Hishamuddin dan memeriksanya dengan DNA yang tidak diketahui yang ditemui di tubuh dan pakaian Teoh.
Jurucakap Kumpulan Ng Yap Hwa berkata demikian selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya hari ini.
Beliau turut berkata bahawa polis harus meneliti tuntutan yang dibuat oleh individu dalaman SPRM pada tahun 2009 apabila seorang yang tidak dikenali telah menghantar surat kepada Menteri Besar Selangor Khalid Ibrahim.
Surat tersebut telah menimbulkan syak wasangka terhadap peranan Hishamuddin dalam kes itu. Ia mendakwa bahawa dia telah memberikan sampel DNA miliknya secara tertutup di pejabatnya, sementara pegawai lain memberi sampel DNA mereka secara beramai-ramai di bilik mesyuarat.
Surat itu juga mendakwa bekas timbalan pengarah itu mempunyai teknik soal siasat menggunakan tali pinggang untuk mengangkat individu dan menggoncang tubuh mereka ketika disoal siasat olehnya.
Ng berkata ini boleh memberi isyarat bahawa DNA misteri pada tubuh dan pakaian Teoh berkemungkinan milik Hishamuddin.
“Kita mesti persoalkam mengapa Hishamuddin mendapat layanan khas,” katanya kepada pemberita di luar ibu pejabat polis hari ini.
“Oleh itu, kita fikir aspek-aspek ini patut dipertimbangkan oleh pihak polis semasa membuka siasatan baru,” katanya.
Hishamuddin adalah pegawai yang menjaga operasi yang membawa kepada kematian Teoh.
Kumpulan itu sebelum ini menyeru polis untuk menyiasat 10 pegawai SPRM kerana menutup kematian Teoh, di samping bersubahat dan cuba menutup kematiannya, selain memberi bukti palsu dan memusnahkan bukti dan juga pembunuhan.
Pada tahun 2009 Teoh didapati mati di tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam, beberapa jam selepas disoal siasat SPRM Selangor di pejabatnya di tingkat 14 bangunan yang sama.
Teoh adalah pembantu politik kepada ahli majlis eksekutif Selangor, Ean Yong Hian Wah.
Suruhanjaya siasatan diraja menyimpulkan bahawa Teoh didorong untuk membunuh diri akibat kaedah soal siasat agresif yang digunakan pegawai SPRM. Ia juga meletakkan kesalahan terhadap tiga pegawai berikutan kaedah agresif mereka yang dikatakan melanggar prosedur.
Pada Julai lalu, polis berkata mereka akan mematuhi arahan daripada Jabatan Peguam Negara untuk menjalankan siasatan lanjut ke atas kematian Teoh. – 24 Ogos, 2019.
Komen