Ukraine harap rundingan pertukaran tawanan dengan Rusia capai keputusan awal


Presiden itu berkata beliau melakukan segala yang termampu untuk memenuhi komitmennya kepada rakyat Ukraine berkaitan isu kepulangan mereka yang ditahan di Rusia termasuk kelasi. – Gambar AFP, 24 Ogos, 2019.

PRESIDEN Ukraine Volodymyr Zelensky berharap rundingan dengan Rusia berkaitan pertukaran tawanan akan dapat dimuktamad tidak lama lagi.

“Keputusan-keputusan awal seharusnya dapat dicapai beberapa hari lagi ... Saya dah berusaha selesaikan perkara sejak dua bulan lalu, biar saya selesaikan kerja saya,” kata Zelensky kepada pemberita, lapor agensi berita China Xinhua memetik agensi berita Ukraine Interfax.

Presiden itu berkata beliau melakukan segala yang termampu untuk memenuhi komitmennya kepada rakyat Ukraine berkaitan isu kepulangan mereka yang ditahan di Rusia termasuk kelasi.

Terdahulu, perkhidmatan akhbar Ombudsman Rusia berkata Pesuruhjaya Rusia bagi Hak Asasi Manusia Tatyana Moskalkova tiba di Kyiv pada Jumaat tanpa menjelaskan tujuan lawatan beliau.

Moscow dan Kiev telah memasuki peringkat terakhir rundingan pertukaran tawanan perang, termasuk 24 kelasi Ukraine yang ditahan berhampiran Selat Kerch pada 25 November 2018.

Pertukaran itu mungkin berlaku pada akhir Ogos, menurut agensi berita Ukraine UNIAN. – Bernama, 24 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen