Polis Tunisia tahan calon presiden


Jutawan Nabil Karoui yang juga calon presiden bagi pilihan raya Tunisia 15 September ini ditahan atas tuduhan pengubahan wang haram. – Gambar AFP, 24 Ogos, 2019.

PIHAK berkuasa Tunisia semalam menahan calon presiden dan pengasas saluran televisyen utama negara itu atas tuduhan pengubahan wang haram, beberapa jam selepas stesen itu dilarang membuat liputan mengenai kempen.

“Kira-kira 15 kereta polis menyekat jalan raya dan bergegas ke kereta Nabil Karoui sebelum anggota bersenjata mengarahnya mengikut mereka kerana mendapat arahan tangkapan,” kata Oussama Khlifi dari parti Karoui, Qalb Tounes.

Stesen radio swasta Mosaique FM memetik pegawai mahkamah berkata waran tangkapan dikeluarkan terhadap Karoui dan saudara lelakinya, Ghazi atas tuduhan pengubahan wang haram.

Bagaimanapun pihak berkuasa tidak mengesahkan tangkapannya.

Karoui adalah antara 26 calon presiden untuk bertanding dalam pilihan raya yang dijadualkan pada 15 September.

Jutawan itu pada bulan lalu dituduh mengubah wang haram tidak lama selepas menyatakan hasrat untuk bertanding. 

Penangkapan pada hari sama pihak berkuasa mengumumkan larangan kepada tiga stesen tempatan termasuk Nessma TV milik Karoui melaporkan kempen pilihan raya kerana beroperasi tanpa lesen “sah”.

Beberapa pemimpin politik menuduh Karoui menggunakan stesen televisyennya untuk tujuan politik.

Stesen yang dilancarkan pada 2007 itu sering memaparkan beliau melakukan kerja amal seperti mengedar pakaian dan makanan. – AFP, 24 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen