PENINGKATAN jenayah samun dan rompak di Barcelona, kebanyakan menyasarkan pelancong, mencetuskan kegemparan di bandar kedua terbesar Sepanyol itu, menyebabkan penduduk tempatan membentuk unit melawan jenayah mereka sendiri.
Konsulat AS di Barcelona pada Rabu memberi amaran kepada rakyatnya bahawa “terdapat peningkatan mendadak jenayah ganas di bandar” dan menggesa mereka supaya “tidak mempamerkan barang mewah seperti memakai barangan kemas atau jam tangan.”
Amaran itu dikeluarkan beberapa hari selepas duta Afghanistan ke Sepanyol cedera ringan dalam samun bersenjata yang mencuri jamnya di pusat bandar, seorang lagi wanita warga Perancis berusia 91 tahun pula dimasukkan ke hospital selepas peragut menarik rantai lehernya menyebabkan dia jatuh.
Barcelona, salah sebuah kawasan tarikan pelancong utama di Eropah, merekodkan lapan kes bunuh sejak Julai lalu, dan pada Jun seorang penjawat awam Korea Selatan maut kerana kecederaan dialaminya kerana disamun.
Persatuan hotel bandar itu turut memberi amaran yang reputasi Barcelona “boleh terjejas teruk”.
Albert Batlle, timbalan datuk bandar yang bertanggungjawab ke atas aspek keselamatan mengakui wujudnya “krisis” tetapi menggesa “analisis dijalankan dengan tenang dan bertanggungjawab” ke atas masalah itu.
Samun dan rompakan bersenjata di Barcelona, kota dengan penduduk seramai 1.6 juta orang, meningkat kepada 28% antara 2016 dan 2018, menurut rekod polis.
Trend itu berterusan pada 2019 dengan peningkatan 31% rompakan ganas dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini. – AFP, 24 Ogos, 2019.
Komen