SEORANG warga Jamaica ditahan hampir tiga bulan di Amerika Syarikat selepas membawa berbotol madu dari negara itu yang disalah anggap pegawai kastam sebagai jenis dadah methamphetamine dalam bentuk cecair.
Leon Haughton melawat keluarganya di Jamaica setiap Krismas sejak menetap di Maryland hampir sedekad lalu, lapor akhbar Washington Post pada Jumaat, menceritakan pengalamannya berdepan karenah birokrasi Jabatan Kastam dan Imigresen AS.
Sejarah gelap Haughton bermula pada 29 Disember di Lapangan Terbang Antarabangsa Baltimore-Washington apabila anjing pengesan kastam menghidu begnya.
Di dalamnya, mereka menemui tiga botol dilabelkan sebagai madu yang Haughton, 45, bapa kepada tiga anak menggunakannya sebagai pemanis minumannya.
Menurut kertas pendakwaan, ejen mengesyaki beliau menyeludup metamphetamine cecari dan menahannya.
Ujian makmal dari Maryland mengambil masa dua minggu untuk disiapkan; keputusannya negatif. Tetapi, penderitaannya tidak berakhir di situ.
Botol itu dihantar ke makmal kedua di Georgia selepas makmal pertama dianggap tidak layak menjalankan ujian terhadap madu itu.
Walaupun memiliki kad hijau selaku penduduk tetap AS, penahanan Haughton berjalan tanpa peluangnya membela diri.
Peguamnya sukar menghubunginya kerana kerajaan AS ditutup sementara disebabkan kemelut belanjawan antara Presiden Donald Trump dan Demokrat berkaitan isu pembiayaan tembok sempadan.
Ujian di Georgia itu bagaimanapun mengesahkan yang bahan dibawa Haughton adalah madu. Beliau dibebaskan pada 21 Mac, 82 hari selepas pulang bercuti.
Tidak dapat bekerja selama tiga bulan dan jauh daripada anak-anak, Haughton hilang dua kerjanya sebagai pencuci dan pekerja pembinaan.
“Mereka rosakkan hidup saya,” katanya. – AFP, 24 Ogos, 2019.
Komen